SELANGOR

RM 5.29 juta biayai projek atasi banjir

SHAH ALAM 9 MEI : Mesyuarat Exco Negeri hari ini meluluskan peruntukan RM 5.29 juta bagi membiayai perbelanjaan projek mengatasi masalah banjir di Daerah Klang.

Exco Kerajaan Negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata peruntukan tersebut diperolehi menerusi Akaun Amanah Caruman Parit kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kita menumpukan kerja-kerja berkaitan di tiga kawasan tadahan utama iaitu di Sungai Teluk Gadong, Sungai Aur dan Sungai Puluh.

“Secara ringkasnya ia meliputi kawasan bandar dan sekeliling bandar Klang agar masalah banjir dapat diatasi dengan segera,” jelas Dr Xavier dalam satu sidang media sejurus selepas mesyuarat tersebut selesai.

Antara cadangan kerja yang dibentangkan MPK adalah pembinaan pembetung, pemasangan pintu kawalan air, pelebaran parit tanah dan naik taraf longkang dimana kesemuanya menelan kos sebanyak RM 4 juta.

“Sebagai contoh, RM652, 700 diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf longkang dan pembetungdi kawasan Jalan Tangku Kelana,” umumnya yang juga Adun Seri Andalas.

Sementara itu, JPS pula diperuntukkan kos sebanyak RM 1.29 juta bagi melakukan kerja-kerja mengorek dan mendalamkan Sungai Teluk Gadong Besar, Sungai Aur, mengorek dan mendalamkan kolam takungan Sungai Aur di Taman Sentosa serta mengorek dan membersihkan Sungai Jati.

“Antara cadangan kerja oleh JPS ialah kerja mengorek dan mendalamkan kolam takungan Sungai Aur, Pandamaran dengan kos RM490, 000,” jelasnya lagi.


Pengarang :