Selangorkini
SELANGOR

RM 5 Juta Untuk Korek Sungai Di Klang, Atasi Banjir

 

KLANG : Tiga sungai di sekitar Klang akan diperluaskan dan diperdalamkan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebagai langkah mengawal bencana banjir.

Pemangku Yang Di Pertua MPK, Ehsan Mukri berkata tiga sungai itu melibatkan Sungai Aur, Sungai Sireh dan Sungai Pileh yang kini semakin sempit dan cetek serta tidak mampu menampung limpahan air ketika hujan lebat.

Katanya, tiga kolam tadahan di Sungai Gadong, Sungai Aur dan Sungai Puloh juga turut akan dibina agar dapat mengatasi masalah banjir di kawasan itu.

“Kos keseluruhan projek terbabit meliputi RM 5 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri.

?Kos ini melibatkan projek ini sahaja dan sebarang kos yang perlu ditanggung kemudian akan disusuli,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan MPK.

Beliau berkata projek itu melibatkan projek jangka masa panjang kerana kejadian banjir di kawasan Klang sering berlaku.

“Ini masalah yang kritikal, ianya untuk mengawal banjir di Klang dan keperluannya mendesak,” katanya.

Ehsan menambah, tender untuk projek itu sudah dibuka awal bulan lalu.

“Kita akan melantik kontraktor yang layak dan dalam masa tiga bulan lagi kerja-kerja akan dijalankan.

“Saya harap projek ini akan memberi impak kepada seluruh warga Klang khususnya dalam jangka masa yang panjang,” katanya.


Pengarang :