SELANGOR

Rodziah : Selangor Giat Bantu Wanita Tingkat kemahiran

KUALA SELANGOR, 31 MEI : Wanita di Selangor akan terus dibantu meningkatkan kemahiran sedia ada bagi membaiki taraf hidup masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi & Inovasi, dan Kebudayaan Rodziah Ismail berkata, Geran Selangorku yang berjumlah RM30 juta dikhususkan untuk melihat wanita negeri Selangor ini berada dalam tahap yang baik.

“Jadi sebab itu dalam projek di bawah Geran Selangorku yang sebanyak RM30 juta itu, salah satunya ialah untuk menyediakan pusat wanita berdaya,” kata Rodziah dalam lawatan kerja beliau ke INPENS International College.

Lawatan itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama antara Kerajaan Negeri berkenaan peluang-peluang yang boleh diterokai bersama untuk kemajuan pendidikan dan latihan kepada golongan wanita.

“Kolej INPENS adalah salah satu pusat pembelajaran yang tersusun dalam kurikulum dan pembangunan dalam latihan seperti jahitan, salun dan sebagainya.

“Saya juga berhasrat anak-anak yang keluar daripada Kolej INPENS ini nanti dapat memberikan khidmat bakti kepada masyarakat kelak,” katanya.

Dalam lawatan itu, Rodziah turut disertai kumpulan wanita daripada DUN Ijok, DUN Jeram dan DUN Melawati bagi meninjau peluang kerjasama yang boleh digerakkan untuk membangunkan wanita setempat dengan INPENS.

Kolej Antarabangsa INPENS adalah sebuah pusat pengajian tinggi yang pertama ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bertujuan menghasilkan insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi serta mampu bersaing meningkatkan sumber tenaga mahir yang berkualiti dan produktif.

INPENS bekerjasama dengan Universiti Selangor (UNISEL) dalam memenuhi objektif membangunkan industri pendidikan dan latihan bagi mempertingkatkan pencapaian cemerlang pelajar.

Kolej ini menyediakan kemudahan penginapan yang mampu menempatkan 500 pelajar dengan pelbagai kemudahan.


Pengarang :