NASIONAL

Scorpene: Keengganan Najib Bukti Beliau Bersalah

SHAH ALAM 4 MEI : Keengganan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk tidak hadir ke mahkamah Perancis berhubung skandal pembelian dua kapal selam Scorpene akan memberikan impak yang besar terhadap kredibiliti pemimpin tertinggi negara tersebut di mata dunia.

Selain itu tindakan tersebut juga akan memberikan gambaran yang menunjukkan beliau seorang pemimpin yang tidak bertanggungjawab, tidak amanah dan menyalah guna kuasa.

MP Shah Alam, Khalid Samad berkata keengganan itu juga akan membuktikan Najib sebenarnya terlibat dalam skandal terbabit seperti yang didakwa sebelum ini.

“Ianya akan menimbulkan andaian dan tanggapan banyak pihak bahawa beliau sebenarnya bersalah dan terlibat dalam amalan rasuah itu,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata apabila kerajaan Perancis mengambil tindakan seperti itu, ianya menunjukkan satu usaha yang baik untuk menangani masalah rasuah termasuk amalan kontraktor dan pembekal membayar pihak tertentu untuk mendapatkan kontrak.

“Walaupun ianya boleh menguntungkan ekonomi mereka tetapi kerajaan Perancis tidak mahu amalan itu dilakukan oleh kontraktor dan pembekal Perancis kerana bagi mereka jika mahu mendapatkan kontrak sekalipun biar atas sebab merit bukan atas sebab rasuah,” katanya.

Justeru, Najib dan kerajaan pusat sepatutnya memberikan sokongan yang sepenuhnya untuk membantu kerajaan Perancis itu untuk menentukan amalan perdagangan yang bersih dan bebas rasuah.

“Dalam usaha seperti itu, walaupun kerajaan Perancis mendapatkan keuntungan dari segi ekonominya kerana kontrak itu tetapi usaha yang murni itu sepatutnya Najib memberikan sokongan penuh.

“Hal ini juga akan menunjukkan jika kita ingin bersaing di pentas antarabangsa, ekonomi syarikat-syarikat kita tidak akan mampu bertahan kerana budaya rasuah menjadi amalan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, tiada sebab untuk Najib enggan hadir ke mahkamah Perancis kerana ianya melibatkan keuntungan ekonomi negara kita masa akan datang.

“kalau mahu membeli barang, tidak perlu rasuah orang dan tidak payah beli dengaan harga yang tinggi. Kalau dikatakan ianya menjadi satu amalan biasa maka akhirnya ekonomi kita juga akan terjejas kalau nk bersaing di pentas antarabangsa pun kita akan kalah.

“Sememangnya di negara kita wujud keperluan pihak ketiga dalam urusniaga pembelian tetapi mengapa kerajaan perlu membayar dengan harga yang tinggi,” katanya.

Semalam, Pendakwa awam Perancis yang menyiasat urusniaga pembelian senjata Perancis-Malaysia mendakwa menemui bukti bahawa menteri pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak meminta AS$1 bilion (RM3 bilion) untuk syarikat tempatan Perimekar daripada DCNI – anak syarikat pembuat kapal Perancis DCN.

Menurut kertas pendakwaan yang didedahkan oleh NGO Suaram, terdapat satu faks menunjukkan bahawa Najib didakwa meminta jumlah itu untuk Perimekar sebagai syarat bagi mengadakan pertemuan dengan beliau pada 14 Julai 2001.

Faks bertarikh 1 Jun 2001 dari Francois Dupont, wakil Malaysia untuk syarikat swasta Thales Asia International, kepada D Arnaud.

Dokumen itu, satu daripada 153 yang ditunjukkan kepada Suaram, telah dirampas oleh polis Perancis dari pejabat Henri Gide, seorang pegawai Thales.

Malah, Waran tangkap antarabangsa boleh dikeluarkan oleh hakim Perancis jika saksi enggan membantu sesuatu siasatan selepas sepina dikeluarkan.

Menurut peguam Perancis, Joseph Breham, yang mewakili NGO Suaram dalam aduan awam berhubung dakwaan membabitkan sogokan jutaan ringgit dalam urusniaga pembelian senjata, “amaran merah” boleh dihantar kepada Interpol sebagai langkah terakhir.

“Jika saksi itu enggan mematuhi sepina tersebut, mahkamah boleh mengeluarkan notis mandat d’amener, memaksa saksi hadir di mahkamah.

“Jika saksi (masih) tidak mahu mematuhinya, maka waran tangkap boleh dikeluarkan.

“Waran tangkap berkenaan berkuatkuasa dalam wilayah Perancis, dan mungkin diantarabangsakan, jika hakim merasakannya perlu,” katanya.

Bulan lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau atau sesiapa sahaja dari kementeriannya, tidak akan membantu siasatan di Perancis itu.

Zahid dinamakan dalam senarai tujuh orang saksi yang dicadangkan oleh Suaram, yang telah diterima oleh hakim siasatan Perancis, Roger Le Loire.


Pengarang :