NASIONAL SELANGOR

Selangor Sedia Bantu Dana SPRM Siasat Kes Scorpene

SHAH ALAM, 7 MEI: Kerajaan Selangor sedia membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan membiayai kos mendapatkan khidmat penasihat undang-undang antarabangsa berhubung sisatan skandal pembelian senjata dari Perancis yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jika perlu, Kerajaan Selangor boleh mengeluarkan peruntukan dana anti-rasuah dari geran Selangorku untuk usaha ini.

“Jika pihak SPRM mempunyai masalah teknikal dari segi undang-undang dalam memulakan penyiasatan, Kerajaan¬† Selangor bersedia membantu SPRM mendapat nasihat dari pakar undang-undang antarabangsa.

“Sebagai sebuah kerajaan negeri yang mementingkan ketelusan dan pertanggungjawaban, Selangor komited dalam memerangi rasuah di semua peringkat dan tidak boleh hanya memeluk tubuh dalam isu yang sebegini serius,” menurut satu kenyataan di sini hari ini.

Siasatan oleh pendakwa awam Perancis memjumpai bukti yang mendakwa Najib, sewaktu beliau Menteri Pertahanan, telah meminta AS $ 1 Billion (RM 3 Billion) daripada DCNI, anak syarikat pembuat kapal Perancis DCN.

Menurut kertas pendakwaan yang didedahkan oleh NGO Suaram, Najib didakwa meminta jumlah itu untuk Perimekar sebagai syarat bagi mengadakan pertemuan dengan beliau pada 14 Julai 2001.

Abdul Khalid berkata SPRM tidak boleh memandang ringan isu ini kerana ianya melibatkan penjawat jawatan tertinggi negara pada masa ini.

“Sebagai Menteri Besar, saya mewakili rakyat Selangor, menyeru kepada SPRM untuk memulakan penyiasatan dalam isu ini kerana ianya melibatkan rasuah berbilion ringgit dan salah guna kuasa untuk pembelian dua kapal selam Scorpene,” menurut kenyataan akhbar itu.


Pengarang :