NASIONAL SELANGOR

‘Senaman Punggung’ Bertentangan Prinsip Rukun Negara

SHAH ALAM, 15 MEI : ‘Senaman punggung’ oleh sekumpulan mendakwa bekas tentera di depan rumah pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga dekat ibu negara hari ini disifatkan sebagai tidak bermoral dan bertentangan dengan prinsip rukun negara, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob.

Jelasnya, budaya tidak sihat itu dilihat semakin menular di kalangan masyarakat tanpa ada sekatan dan tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

Menurutnya, kelakuan itu seolah-olah ‘dihalalkan’ dan kian menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat dalam negara kita.

“Saya bimbang perkara ini terus menular dan menjadikan negara kita sebagai tumpuan bagi budaya tidak sihat ini yang sangat besar kesannya terhadap moral dan perkembangan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu juga seolah-olah menghina etika kesopanan dan kesusilaan yang sepatutnya dijadikan contoh kepada negara-negara lain.

“Perkara ini amat dikesalkan apatah lagi ia dilakukan oleh individu (bekas tentera) yang diajar dan didik dengan disiplin yang tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago turut melahirkan kekesalannya terhadap perlakuan memalukan itu yang disifatkan sebagai melanggar undang-undang dan intimidasi Ambiga.

Katanya, tindakan juga harus diambil terhadap kesemua perlaku terbabit bagi mengelakkan institusi dan perlembagaan negara tidak lagi dicemari dengan insiden memalukan.

“Sikap ini harus dikutuk masyarakat kerana ia sangat memalukan dan merendahkan moral. Pihak berkuasa harus menyiasat perkara berkenaan bagi membolehkan kita mengenalpasti individu yang memberi arahan untuk berbuat demikian,” katanya.

Sekumpulan bekas tentera pagi tadi melakukan satu senaman aneh di hadapan kediaman Ambiga di Bukit Damansara.

Kumpulan 15 orang daripada Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) itu melakukan gimik demonstrasi yang dinamakan mereka sebagai “senaman punggung” dengan membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung mereka ke arah kediaman Ambiga.

Kumpulan berkenaan diketuai presiden PVTM, Mohd Ali Baharom yang berkata mereka berhak mengadakan demonstrasi tersebut sebagai bantahan terhadap Ambiga.


Pengarang :