Taman Mini Botani Al-Quran Di Sekolah Pertama Di Malaysia | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

fairuz tahir

Taman Mini Botani Al-Quran Di Sekolah Pertama Di Malaysia

KLANG, 4 MEI : Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang mewujudkan Taman Mini Botani Al-Quran di sekolah bagi memperkasakan bidang pendidikan berasaskan Islam.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata dengan Taman Mini Botani Al-Quran itu warga pendidik dan pelajar akan lebih memahami dan mengetahui jenis pokok dan khasiatnya sebagaimana tercatat di dalam Al-Quran.

“Buat julung-julung kalinya kita berada dalam satu majlis bagi memperkenalkan satu pembaharuan iaitu Taman Mini Botani Al-Quran di mana sebelum ini tiada lagi di tempat lain sama ada sekolah agama atau sekolah biasa.


“Ini adalah antara program pertama jejak ilmuan Kerajaan Negeri di mana bagaimana kita nak membangunkan Selangor sebagai negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan,” katanya dalam ucapan perasmian Taman Mini Botani Al-Quran di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Delek di sini semalam.

Turut hadir, Pemangku Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad; Pengarah Institut Bio-IT Selangor  International Islamic Academy for Life Sciences & Biotechnology (IAB), Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latip Ibraihm dan Guru Besar SRA Kampung Delek, Noraini Kasiman.

Beliau berkata, idea taman mini tersebut adalah ekoran undangan Kerajaan Qatar bersama Dr Abdul Latip di mana Qatar mahu mengembangkan Taman Botani Al-Quran di seluruh negara itu bagi memberi pendidikan berasaskan Islam.

Program Taman Mini Botani Al-Quran Pertama ini dijalankan Kerajaan Negeri bersama Universiti Selangor (Unisel) dengan peruntukan RM60,000 bagi memperkenalkan penanaman pokok yang terdapat di dalam Al-Quran.

Antara pokok yang ditanam di sekolah tersebut ialah Pisang, Lidah Buaya, Selasih, Setawar Hali, Labu Air, Timun, Jagung dan Inai.

“Selangor adalah negeri pertama yang memperkenalkan taman dengan konsep sebegini dan kita mahu meluaskannya ke daerah lain,” katanya.

Sementara itu, Noraini ketika ditemui melahirkan rasa bangga kerana sekolahnya dipilih sebagai tapak perintis bagi projek tersebut.

“Sebagai Guru Besar, saya bersama pengurusan dan semua kakitangan sekolah berbesar hati dan bangga dengan pemilihan ini. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Dr Halimah atas penghargaan ini,” katanya.

ends

 

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION