SELANGOR

Tokoh Guru JAIS Gesa Pendidik Ikhlas, Amanah

SABAK BERNAM 27 MEI : Tiada apa yang lebih menggembirakan pesara guru, Salbini Ismail, 64, dan Masirah Maslan, 64, selain terpilih sebagai Tokoh Guru Lelaki dan Wanita, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) 2012.

Kedua-dua pesara guru itu merupakan anak kelahiran Sabak Bernam yang mengabdikan diri dalam bidang pendidikan selama 33 tahun bermula tahun 1970 sebelum bersara pada tahun 2003 lalu.

Salbini berkata anugerah itu umpama pemangkin buatnya untuk terus berkhidmat menyampaikan ilmu agama kepada generasi muda walaupun sudah bersara.

“Bagi saya, bidang perguruan adalah sesuatu yang sangat mulia dan semua guru harus faham bahawa apa yang kita lakukan adalah ibadat secara berterusan,” katanya ketika ditemui.

Salbini turut menasihatkan generasi guru hari ini supaya mengamalkan peribadi mulia iaitu amanah dan ikhlas dalam mendidik anak-anak sekiranya mahu menjadi guru cemerlang.

Tambahnya, cabaran sebagai pendidik zaman kini lebih mencabar berbanding masa lalu.

“Oleh kerana itu, mereka memerlukan semangat yang tinggi selain amanah dan ikhlas dalam mendidik,” katanya.

Bekas Pengetua Sekolah Agama Integrasi Selangor dan Penolong Pegawai di Pejabat Mufti Selangor itu pernah melanjutkan pelajarannya di salah sebuah universiti di India dan Mesir.

Beliau juga pernah mendapat Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T) daripada Sultan Selangor pada tahun 1999 dan Tokoh Maal Hijrah daerah Kuala Langat 2011.

Beliau kini berkhidmat sebagai penceramah bebas dan Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Selangor.

Bagi Tokoh Guru kategori Wanita, Masirah menyifatkan anugerah yang diterima itu adalah mewakili jasa dan pengorbanan warga pendidik di seluruh negara.

“Saya terima anugerah ini dengan penuh rendah hati kerana ia adalah berkat sokongan semua insan yang bergelar guru.

?Anugerah ini besar maknanya bukan hanya kepada saya, tetapi kepada profesion perguruan itu sendiri kerana ia akan lebih memberi semangat kepada guru muda untuk memberikan khidmat terbaik kepada anak bangsa,” katanya.

Dalam menceritakan pengalamannya, Masirah pernah menampar seorang pelajar yang disifatkan sebagai degil dan akhirnya pelajar itu sudah berjaya menjadi seorang Doktor.

Ibu kepada empat orang anak dan nenek kepada tujuh orang cucu itu sangat mementingkan ilmu pengetahuan kepada anak-anaknya sehingga kesemua anak-anaknya berjaya ke peringkat universiti.

Masirah yang pernah berkhidmat di Madrasah Hidayah Seksyen 11, Shah Alam kini aktif dalam penulisan buku agama dan pendakwa bebas.

 Kedua-dua mereka menerima pakej menunaikan Umrah bersama pasangan masing-masing serta sijil dan hadiah iringan.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sambil diperhatikan oleh Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Hussin dan Exco Pendidikan, Dr Halimah Ali.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya sebak apabila menceritakan tentang pengorbanan guru yang sepatutnya menjadi pembentuk budaya berilmu tetapi menjadi mangsa keadaan.

Ini kerana sistem pendidikan yang dipakai selama ini adalah tersasar daripada tujuan pendidikan itu sendiri dalam membina dan membangun ummat, katanya.

“Selepas 54 tahun, mengapa mesti mempunyai sekolah asing? Kita mesti pentingkan kualiti pembangunan anak-anak.

“Kenapa mesti ada jurang, lihat sahaja sekolah-sekolah pada awal 2008, terdapat banyak kepincangan dalam Sekolah Agama Rakyat, tiada rekod yang betul,” katanya.


Pengarang :