NASIONAL

Tuan Ibrahim : Tiada Muzakarah, Harussani Perlu Nasihat Umno Ikut Islam Sebenar

SHAH ALAM, 29 MEI : PAS hari ini menggesa Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria untuk mendesak kerajaan Umno-BN supaya tidak mempolitikkan isu muzakarah dan kembali kepada keadilan dengan mengikut dasar Islam yang sebenar.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengulas tindakan Harussani yang menyatakan bahawa Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘melampau’ kerana kerana mengenakan syarat untuk bermuzakarah bersama Umno hingga menyebabkan usaha itu tidak menjadi kenyataan berhubung muzakarah kedua-dua parti itu.

Tuan Ibrahim berkata, syarat yang ditetapkan PAS bagi muzakarah adalah syarat biasa iaitu membersihkan sistem pilihan raya dan kembali semula pada ajaran Islam.

Menurutnya, sebagai mufti, Harussani sepatutnya melihat konteks sebenar isu muzakarah itu yang dimanipulasi pihak-pihak tertentu bagi meraih sokongan terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Apa yang susah sangat bagi kerajaan Umno-BN untuk ikut syarat-syarat tersebut? Bagi saya, peranan Mufti Perak itu lebih berkesan sekiranya beliau mendesak Umno-BN supaya berlaku adil kepada rakyat Islam di negeri pemerintahan Pakatan Rakyat (PR),” tegasnya.

Tambahnya, PAS mengambil pendekatan untuk menutup isu tersebut kerana media arus perdana melihat muzakarah itu sebagai satu penyatuan antara parti itu dengan Umno-BN.

Beliau berkata, apa yang menjadi keutamaan PAS kini adalah untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap persediaan PRU-13 yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

Justeru, kesediaan Harussani untuk menjadi orang tengah dalam memastikan muzakarah antara PASA dan Umno-BN menjadi kenyataan demi kepentingan Islam juga tidak perlu.

“Rakyat tidak mahu melihat muzakarah itu berlangsung, sebaliknya rakyat ingin lihat bagaimana PAS mengganti Umno-BN untuk menjaga kepentingan umat Islam.

“Buat sementara waktu ini, di peringkat parti kita sudah memutuskan tiada muzakarah dengan Umno-BN, maka tiada keperluan bagi beliau (Harussani) ke arah itu,” katanya.


Pengarang :