Pelbagai

Xavier : Pakatan Membawa Komuniti India Keluar Dari Estet

SHAH ALAM, 28 MEI : Dalam jangkamasa lima ke 10 tahun akan datang, label ?warga estet? tidak boleh lagi dipakai untuk rakyat Malaysia berketurunan India yang menetap di Selangor.

Ini kerana, jika usaha Kerajaan  Pakatan Rakyat(PR) Selangor berterusan, taraf kehidupan masyarakat India kelas bawahan akan meningkat sampai mereka berhijrah keluar dari ladang-ladang kelapa sawit dan getah.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata perubahan dalam kehidupan masyarakat India amat ketara sejak Pakatan mengambil tampok pentadbiran negeri.

“Masih ada yang bekerja di ladang tetapi semakin kurang. Mereka hanya tinggal di situ tetapi bekerja di kawasan luar.

?Perkembangan ini akan terus berlaku dalam tempoh lima ke 10 tahun yang mana kaum India tidak akan lagi dianggap masyarakat ladang.

?Di Selangor kita akan lihat perubahan ini dengan ia semakin kurang mengikut peredaran masa,” katanya di dalam satu wawancara dengan TVSelangor.

Taraf hidup komuniti India yang semakin baik disebabkan penekanan kepada pendidikan oleh pentadbiran Pakatan.

Melalui strategi ini, anak pekerja ladang yang semakin berpendidikan akan mecari kerja di luar estet dan akan membawa keluar ibu bapa mereka yang masih tinggal di situ.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM 4 juta untuk pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh Selangor.

Selain itu RM6 juta telah diberikan untuk rumah ibadat bukan Islam termasuk kuil-kuil Hindu.

“SJKT dan kuil Hindu adalah dua institusi yang rapat dengan masyarakat India maka kita beri penekanan terhadap pembangunannya.

?Di Selangor terdapat 97 SJKT dan kita beri bantuan kepada semua sekolah ini melalui PIBG dan pengelola sekolah.

“Bila kita mula mentadbir negeri, ada antara SJKT yang kerusi meja pun tiada, makan di kantin pun terpaksa bersila.

?Sepatutnya dalam abad ke 21 ini keadaan sebegini tidak wujud lagi,” ujarnya.

Dr Xavier berkata, penambahbaikan infrastruktur SJKT menyumbang kepada peningkatan pencapaian akademik pelajar India.

Sebagai contoh, sejak tahun lalu, pencapaian pelajar India dalam UPSR meningkat dari 30 ke 50.2 peratus.

Katanya, bantuan kelas tambahan, makanan dan minuman percuma serta pengangkutan bas untuk menghadiri kelas membolehkan anak komuniti India dapat mengikuti pelajaran dengan lebih baik dan sempurna.

“Untuk terus membela kaum India, kita juga telah memulakan kelas komputer di kira-kira 40 SJKT supaya semua pelajar boleh belajar dan mahir di dalam bidang teknologi maklumat.

?In bermula dari Tahun 1 hingga 6. Ini semua tambahan kepada program meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata, dari lebih lima juta rakyat Selangor, hanya 13 peratus iaitu kira-kira 600 ribu adalah masyarakat India. Dari jumlah ini, 30 peratus adalah dari kalangan berpendapatan rendah.


Pengarang :