Selangorkini
NASIONAL

AMK Gesa Polis Siasat Menyeluruh Skandal Jual Rahsia Pertahanan

SHAH ALAM 8 JUN : Polis digesa untuk menyiasat secara menyeluruh isu dakwaan penjualan maklumat rahsia pertahanan negara, tegas Naib Ketua AMK Pusat, Azmizan Zaman Huri.

Azmizam yang juga Ketua AMK Selangor menyeru polis tidak dengan sewenang-wenangnya melindungi mana-mana individu berkepentingan kerana secara jelas, individu-individu terbabit telah menggadai keselamatan dan rahsia pertahanan negara.

“Kejadian ini menimbulkan keraguan mengenai tahap sebenar kemampuan pertahanan negara ini, kerana berdasarkan pendedahan ini , wujud kebarangkalian maklumat-maklumat pertahanan yang lain juga dijual,” kata Azmizam dalam kenyataan medianya.

Jelas beliau, isu ini dilihat satu titik kemuncak keghairahan untuk mengumpul dana kekayaan buat diri sendiri menjadi pendorong kepada beberapa individu berkepentingan untuk membelakangkan keselamatan rakyat secara keseluruhan.

“Pendedahan terbaru ini menunjukkan nyawa dan nilai keselamatan rakyat negara dan perajurit yang bertugas adalah tidak mempunyai makna sama sekali kepada pengkhianat seperti Razak Baginda dan bapanya,” ujar beliau.

Tambah Azmizam, beliau mempersoalkan tindakan Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Pertahanan waktu itu yang hanya menutup mata kerana ingin mengenyangkan proksi dan kroni beliau.

“Malah saya ingin mempersoalkan, adakah Datuk Seri Najib Razak juga menerima habuan yang lumayan daripada penjualan dokumen sulit ini,” ujarnya.

Sebelum ini, pihak SUARAM melaporkan bahawa dokumen berkaitan laporan penilaian prestasi kapal selam Scorpene berasaskan keperluan pertahanan yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijual pada harga 36 juta Euro atau RM142 juta kepada pihak DCNS.

Dipercayai Terasasi (Hong Kong) Limited ini dimiliki oleh Abdul Razak Baginda dan bapanya Abdul Malim Baginda yang merupakan sekutu kuat dan penasihat utama kepada Najib Razak.

 


Pengarang :