Selangorkini
NASIONAL

Ayah Tahanan ISA Merintih Minta Anak Dibebaskan

KUALA LUMPUR 28 JUN : Perhimpuan membantah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) di depan bangunan Parlimen pagi tadi menyaksikan ayah seorang mangsa merintih meminta anaknya Fadulah Razak dibebaskan segera.

Menurut Razak Mohd, beliau dimaklumkan anaknya ditahan kerana mengancam keselamatan negara dan dinafikan hak untuk membela diri di mahkamah.

Perhimpunan hari ini disertai lebih kurang 50 wakil dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan turut kelihatan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat iaitu Datuk Mahfuz Omar dan Tian Chua.

Ia bertujuan mendesak kerajaan membebaskan tahanan ISA yang bertindak mogok lapar untuk hari kelapan dengan segera ekoran tahap kesihatan tahanan semakin merosot.

Razak ketika ditemui menggesa pihak kerajaan perlu mengambil serius perkara ini dengan tidak menyembunyikan fakta sebenar.

“Orang hanya tahu bahawa ISA sudah dimansuhkan tetapi kenapa ada tahanan lagi, ini seolah-olah pihak kerajaan hanya untuk mengaburi mata masyarakat yang hanya untuk piliharaya,” kata Razak.

Tambah Razak lagi, beliau mendesak pihak Kem Tahanan Kamunting (Kemta) agar memberi penjelasan sebab anaknya dikurung sejak ditahan sejak 2010.

“Saya pernah cuba untuk menghubungi pihak Kemta, tetapi seolah-olah mereka tahu saya yang menghubungi dan ia tidak berjawab,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata Pakatan Rakyat mendesak pihak kerajaan untuk mengeluarkan senarai penuh tahanan yang belum dan sudah dibebaskan pada kadar segera.

“Kita mahu pihak kerajaan agar konsisten dalam pemansuhan ISA. Perdana Menteri wajib menjawab perkara ini dengan tindakan mogok lapar oleh tahanan ISA kepada pihak keluarga,” kata Izzah.

Dalam pada itu pihak Sekretariat Gerakan Mansuhkan ISA (GMI),Syukri Razak berkata pihak Menteri Dalam Negeri disaran memberi jaminan bahawa tahanan yang melancarkan mogok lapar tidak akan dikenakan sebarang tindakan.

“GMI menuntut agar pihak keluarga,peguam dan doktor akan diberi akses kepada tahanan tanpa sebarang halangan oleh pihak Kemta,” katanya.

Peserta himpunan aman itu juga menunjukkan lukisan penyeksaan yang dilukis sendiri oleh tahanan ISA.


Pengarang :