NASIONAL

Baiki Sistem Radar Izzah Tidak Puas Hati Jawapan Menteri

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Sri Kong Cho Ha berhubung kerosakkan sistem radar dan tender memperbaiki sistem kawalan udara di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Menerusi jawapan bertulis yang diterima menyatakan, kos perbelanjaan kawalan udara yang menggunakan ‘Human Machine Interface’ secara keseluruhan berjumlah RM128,426,500 dan sistem tersebut berada di tahap baik, malah tiada kejadian buruk disebabkan oleh sistem itu.

Menurut Izzah, perkara ini amat berbeza daripada keadaan sebenar.

“Sebaliknya maklumat yang kami perolehi daripada kakitangan yang mengendalikan sistem tersebut termasuk daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), berlainan sama sekali.

“Kami juga difahamkan kontrak baik pulih sistem berkenaan turut diberi kepada keluarga salah seorang menteri. Adakah ini sudah menjadi kebiasaan dalam pentabiran kerajaan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Jumaat lalu dalam sidang media, Izzah yang juga Naib Presiden PKR menyatakan bahawa sistem kawalan udara terbabit mengalami masalah dan diakui oleh beberapa kakitangan.

Katanya, pada Januari lalu, beliau menerima surat termasuk daripada timbalan pengarah pengawal trafik udara yang menyatakan rasa kecewa berhubung kecacatan sistem berkenaan.

Dakwanya, jika benar kerajaan membaik pulih sistem itu, mereka perlu kemukakan bukit ini, kerana ia membabitkan keselamatan orang awam yang menggunakan perkhidmatan di lapangan terbang tersebut.


Pengarang :