NASIONAL

Dr Halimah: PTPTN Digesa Bersikap Professional

SHAH ALAM 5 JUN : Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) digesa bersikap professional dan tidak menjadikan para pelajar Universiti Selangor (Unisel) sebagai mangsa politik pihak tertentu, tegas Dr Halimah Ali.

Dr Halimah yang merupakan Exco Pendidikan,Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Insan,yang dihubungi mengulas isu pembekuan pinjaman PTPTN berharap perkara itu dapat diselesaikan segara demi memastikan masa depan pelajar agar tidak terjejas.

“Sepatutnya isu pendidikan tidak wajar dijadikan dijadikan isu politik, malahan tujuan PTPTN itu diwujudkan adalah untuk membantu golongan yang memerlukan pembiayaan,” kata Dr Halimah.

Tambah beliau, tiada sebab untuk pihak PTPTN mendiskriminasikan mana-mana pelajar institut pengajian tinggi bagi mendapatkan pembiayaan itu jika berkelayakan.

Tindakan tersebut menurut Dr Halimah mungkin menjejaskan pengajian lebih seribu pelajar yang baru mendaftar di Unisel.

“Namapun Satu Malaysia, tetapi mengapa wujud sikap pilih kasih terhadap pelajar Unisel,” ujarnya.

Dr Halimah juga berkata, ibu-bapa pelajar berkenaan berhak mengambil tindakan undang-undang jika hal demikian berlanjutan tanpa penyelesaian.

“Perkara ini boleh diselesaikan dengan cepat jika pihak PTPTN bersikap professional dalam hal ini,” katanya.

Sebelum ini, portal Malaysiakini melaporkan bahawa di satu laman forum PTPTN bahawa pinjaman kepada pelajar baru Unisel “ditangguhkan buat sementara waktu.”

Ruangan forum berhubung syarat permohonan pinjaman kendalian Kementerian Pengajian Tinggi itu turut menyatakan bahawa PTPTN tidak lagi memberi pinjaman kepada pelajar Unisel.

Perkara itu dinyatakan salah seorang moderator laman forum berkenaan yang menggunakan nama “ptptn1” ketika menjawab satu soalan berhubung pinjaman PTPTN untuk pelajar Unisel pada 8 Mei lalu.


Pengarang :