SELANGOR

Dua Minggu Sahaja Untuk Permohonan Dengan Pejabat Tanah

PETALING JAYA 6 JUN : Segala urusan di Pejabat Tanah di Selangor akan mengambil masa dua minggu sahaja untuk diproses, demikian ikrar yang dikeluarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menjawab soalan dari penduduk yang mengadu kelewatan Pejabat Tanah memproses permohonan berkenaan urusan tanah, Abdul Khalid menjelaskan Kerajaan Negeri akan melakukan penguatkuasaan berhubung perkara tersebut demi kepuasan pembayar cukai.

“Seharusnya segala urusan dilayani berdasarkan prinsip ‘First In First Out’ tetapi sebaliknya pula berlaku apabila ada yang memotong barisan sehingga menyebabkan mereka yang di hadapan terpaksa di belakangkan urusannya dan menunggu lebih lama.

“Tempoh masa urusan yang sama di Singapura cuma seminggu, jadi di sini mengambil kira penduduk yang ramai kita akan beri tempoh dua minggu kepada Pejabat Tanah untuk proses segala urusan.

“Jika masih lewat, maka pejabat tanah yang akan diminta membayar kepada rakyat yang membuat urusan tersebut,” ucap beliau dalam satu dialog bersama penduduk di Dewan Sivik di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata seharusnya rakyat juga tidak perlu lagi bersusah payah mengunjungi Pejabat Tanah untuk membuat urusan, sebaliknya Pejabat Tanah yang harus mengunjungi rakyat.

“Mindset ini yang kita harus ubah. Seharusnya kita yang pergi berjumpa pembayar cukai dan menyelesaikan masalah mereka, bukan mereka yang dah bayar kita tapi kemudian perlu susah payah pulak jumpa kita.

“Dengan cara ini, kita pun dapat melakukan kerja dengan cepat, masalah rakyat pun dapat kita selesaikan dengan lebih cepat dan menyeluruh,” jelas Abdul Khalid disambut tepukan gemuruh hadirin.

Majlis Dialog Skim Pemilikan Tanah Dan Tabung Amanah Perkuburan dengan Menteri Besar malam tadi turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dan Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor, Norasiah Bee Mohd Hanif.


Pengarang :