NASIONAL

Isu Hudud Tidak Jejaskan Hubungan Erat PAS dan DAP

 

SHAH ALAM, 29 JUN : Isu hukum hudud sengaja diapi-apikan musuh politik PAS dan DAP bagi memecah-belahkan kesefahaman parti Pakatan Rakyat dan mengalihkan perhatian daripada masalah negara seperti rasuah dan salahguna kuasa.

Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng berkata polemik hukum hudud adalah perangkap yang dipasang parti Umno dan MCA bagi menjejaskan kerjasama rapat antara PAS dan DAP.

“Saya rasa isu lain pun penting macam isu rasuah. Jangan kita masuk dalam perangkap Umno-BN yang sering mengatakan pemipim DAP dan PAS tidak sependapat.

?Sungguhpun DAP dan PAS mermpunyai idealogi berbeza tetapi yang penting kita tak pernah mencederakan rakyat atau merosakkan negara. Itulah demokrasi dan dengan cara ini baru kita boleh dapat kebaikan,” katanya lagi dalam wacana “Benarkah Dasar DAP Mengancam Islam?”.

Kata Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, DAP sentiasa mengamalkan sikap terbuka bersama parti Pakatan berhubung pelbagai isu termasuk pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Beliau berkata, biarpun idealogi kedua-kedua parti itu berbeza, mereka sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama serta sering mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan sesuatu isu.

Dalam isu hukum hudud, beliau berkata, PAS menghormati pendirian DAP yang pada dasarnya tidak bersetuju dengan pelaksanaannya.

“Hakikatnya bukan sahaja DAP tetapi juga orang bukan Islam termasuk rakyat di Sabah dan Sarawak juga tidak bersetuju. Pemimpin PAS terima bahawa konsep hukum hudud tidak diterima oleh orang bukan Islam. Mereka memberikan keyakinan bahawa mereka tidak akan paksa.

“Apa yang penting kita sentiasa bersikap terbuka. Kalau setuju maka setuju lah dan kalau tak setuju jadi tak setuju dan kita kena terima keputusan itu,” kata Guan Eng.

Wacana anjuran Roketkini.com di sini tadi turut disertai Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik dengan dimoderatorkan Naib Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Wan Saiful Wan Jan.


Pengarang :