Selangorkini
NASIONAL

Khaled Nordin Perlu Letak Jawatan Jika PTPTN Sekat Pinjaman Kepada Pelajar Unisel

PETALING JAYA, 6 JUN : Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin harus meletak jawatan dengan segera andainya benar beliau mengarahkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyekat pinjaman kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel).

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata jika benar Khaled tidak terlibat maka beliau perlu campur tangan segera bagi mencari penyelesaian total kepada isu pinjaman PTPTN itu.

“Gelagat beliau yang seolah-olah meraikan kepayahan ribuan pelajar dan mengamalkan politik dendam menimbulkan tanda tanya yang lebih besar.

?Apakah beliau sendiri yang mengarahkan agar PTPTN menyekat pinjaman kepada pelajar Unisel sebagai sebahagian dari mainan politik dendam Umno-BN”  tegas Rafizi dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Sebelum ini, portal Malaysiakini melaporkan di satu laman forum PTPTN bahawa pinjaman kepada pelajar baru Unisel ?ditangguhkan buat sementara waktu.?

Ruangan forum berhubung syarat permohonan pinjaman kendalian Kementerian Pengajian Tinggi itu turut menyatakan bahawa PTPTN tidak lagi memberi pinjaman kepada pelajar Unisel.

Perkara itu dinyatakan salah seorang moderator laman forum berkenaan yang menggunakan nama ?ptptn1? ketika menjawab satu soalan berhubung pinjaman PTPTN untuk pelajar Unisel pada 8 Mei lalu

Tambah Rafizi masa hadapan pelajar Unisel tidak perlu dipolitikkan ekoran polemik berkenaan tawaran Pakatan Rakyat dalam memberikan pendidikan percuma baru-baru ini.

“Sepatutnya Khaled Nordin menjadi pemuka yang intelek dalam mengemukakan model pengajian tinggi bukannya mengambil sikap kebudak-budakkan dalam hal ini,” kata Rafizi.

Jelas Rafizi,beliau yakin bahawa Malaysia mampu menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada rakyatnya berdasarkan kira-kira yang telah dibentangkan kepada rakyat.

“Oleh kerana pendidikan tinggi adalah bidang kuasa pusat dan mengikut Perlembagaan dibiayai oleh dana kewangan kerajaan pusat,maka sebarang perubahan model pendidikan tinggi negara hanya boleh dilaksanakan secara bersepadu oleh Kerajaan Pusat,” kata Rafizi.

 

 


Pengarang :