Selangorkini
NASIONAL

LGE Sasar Hapus Kemiskinan 2015 di Pulau Pinang

SHAH ALAM 28 JUN : Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited kini dalam perancangan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat serta menghapuskan kemiskinan di negeri itu menjelang 2015.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sejak mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri dari Umno-BN pada Mac 2008, Pakatan Rakyat (PR) merancang pelbagai perubahan ke arah meningkatkan taraf kehidupan rakyat di Pulau Mutiara itu.

Sebagai langkah awal, pelbagai usaha dan perubahan dilakukan dalam sektor ekonomi bagi membantu rakyat mengurangkan bebanan serta menambah pendapatan.

Beliau menambah, antara perubahan adalah meningkatkan gaji minima semua keluarga supaya melepasi garisan kemiskinan ditetapkan.

“Itu adalah usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri tapi itu bukanlah mudah untuk merapatkan jurang perbezaan. Itu satu komitmen sebagai negeri yang pertama hapuskan miskin tegar di Malaysia di mana semua keluarga mendapat sekurang-kurangnya RM600 sebulan. Kalau tak dapat RM600 sebulan, Kerajaan Negeri akan tambah nilai tiap-tiap bulan sehingga genap RM600.

“Kita bukan sahaja mahu menghapuskan miskin tegar tetapi kita juga nak menjadi negeri pertama menghapuskan kemiskinan sama sekali menjelang 2015,” katanya dalam Wacana “Benarkah Dasar DAP Mengancam Islam? anjuran Roketkini.com di sini malam tadi.

Wacana tersebut turut disertai Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik dan Naib Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Wan Saiful Wan Jan bertindak selaku moderator.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Kerajaan Negeri berharap sasaran itu mampu dicapai selewwat-lewatnya pada 2015.

“Kita harap akan mencapainya pada 2015 atau lebih awal dari itu. Itupun kalau kita menang (pilihan raya) dan kekal sebagai kerajaan,” katanya.


Pengarang :