NASIONAL

Loji Penapis Minyak di Johor, BN Ketepi Hak Sabah, Sarawak

SHAH ALAM, 2 JUN : Tindakan kerajaan Pusat mendirikan loji penapis minyak terbesar di Pengerang, Johor merupakan usaha tersusun kerajaan membelakangi kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak yang merupakan negeri pengeluar minyak terbesar di negara ini.

Parti Reformasi Negeri Sabah (Star) mendakwa mengalami kerugian “tak terhingga” berikutan keputusan Kerajaan Pusat membina logi penapisan minyak di Johor dengan kos RM127 bilion.

Pengerusi Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan juga menyifatkan keputusan dibuat sebagai tidak munasabah kerana Johor bukan sebuah negeri pengeluar minyak.

Menurutnya, adalah jelas Kerajaan Pusat tidak ikhlas serta menyisih pembangunan di Sabah dan Sarawak yang telah menyumbang hasil simpanan negara menerusi sumber minyak sehingga 95 peratus.

“Sekiranya perkara ini diambil kira, sudah tentulah ia akan memutuskan untuk membina logi penapis minyak di Sabah atau Sarawak.

“Dengan keputusan bagi membina loji penapisan minyak di Johor maka kita di Sabah dan Sarawak akan mengalami kerugian yang besar. Dari segi jangka panjang, kerugian ini akan berjumlah trilion ringgit,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dr Jeffrey berkata, sekiranya logi penapisan minyak dibina di Sabah tentunya ia menjadi satu projek terbesar yang pernah dilaksanakan untuk Sabah dan Sarawak.

Keputusan itu tambahnya akan merangsang pertumbuhan ekonomi yang pesat bagi negeri-negeri Borneo selain membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di kepulauan tersebut.

“Bayangkan kilang penapisan itu akan memproses 300 ribu tong sehari manakala sebuah lagi logi  penapisan ‘berdekatan’ yang akan dibina sebuah syarikat Taiwan bagi memproses 150 ribu tong sehari. Ini akan menyebabkan jumlahnya menjadi 450 ribu tong sehari yang mana ia merupakan peratusan yang besar terhadap pengeluaran minyak mentah negara sebanyak 700 ribu tong sehari.

“Ia adalah perkiraan yang jumlahnya penghasilan luarbiasa. Kerajaan Pusat pastinya mendapati projek tersebut sesuai dibina dengan menjadikannya sebagai dua projek super mega di kawasan sama.

“Sukar dipercayai bahawa Kerajaan Pusat tidak melihat potensi ekonomi sekiranya logi penapisan itu dilaksanakan di negeri Borneo. Logi penapisan di sebelah Laut China Selatan ini akan memberi gambaran adil dalam perkongsian kek ekonomi,” katanya.

Namun Jeffrey berkata, usaha Kerajaan pusat membina logi penapisan minyak di Johor adalah bertujuan menjadikan negeri itu yang hebat di sebelah Singapura.

Tambahnya, ia perancangan Kerajaan Pusat bagi mengalirkan ratusan bilion ringgit ke Johor selepas peruntukan besar disalurkan bagi pembangunan Iskandar Malaysia di negeri itu.

Beliau berkata, langkah terbaru yang salah itu merupakan satu penghinaan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap konsep 1Malaysia menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Apa yang jelas sekarang ialah Sabah dan Sarawak hanya dilihat sebagai “pembekal sumber hasil mentah” untuk Semenanjung Malaysia. Bayangkanlah kerugian yang terpaksa kita tanggung dan terlepas peluang bagi menjana pertumbuhan ekonomi secara besar-besaran selain perkembangan infrastruktur teknologi pemindahan dan pemprosesan hiliran.

“Semua ini mungkin menjadikan negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak sebagai pusat ekonomi  yang bertenaga tetapi Kerajaan Pusat bertindak seperti penjajah yang lapar. Ia sama seperti apa yang British lakukan ketika Sabah dan Sarawak. Ia satu tamparan hebat bagi negeri-negeri Borneo,” katanya.


Pengarang :