NASIONAL

Mat Sabu : Najib Akan Tanggung Dosa Jika PRU 13 Pada Musim Haji

SHAH ALAM,13 JUN: Jika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), diadakan semasa musim haji, individu yang wajib menanggung dosa adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, Najib seorang Perdana Menteri yang tidak bertanggungjawab sekiranya ini berlaku kerana beliau mempunyai tempoh masa yang panjang untuk menentukan tarikh pilihanraya.

Perkara ini nyata boleh mengganggu kosentrasi dan persiapan bakal haji, ujar beliau.

“Apa yang berlaku Najib harus bertanggungjawab sampai terpaksa menagguh atau tidak pergi haji. Dia kena pikul dosa siapa yang terlibat dalam ibadah haji ini,” katanya apabila dihubungi.

Mohamad bercakap demikian dalam mengulas spekulasi yang pilihanraya akan diadakan pada musim haji pada bulan Zulhijah pada pertengahan Oktober sehingga pertengahan November.

Terdahulu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta ahli parti yang terlibat secara langsung dalam pilihanraya seperti calon, wakil calon dan pengarah pilihanraya agar menangguhkan rancangan untuk menunaikan ibadah haji.

Kata Mohamad, perkara ini bukan soal siapa akan menang atau kalah tetapi persoalan mengapa memilih waktu berkenaan sedangkan beliau mempunyai masa yang panjang.

“Dia (Najib Razak) telah mempunyai masa yang lama. Dari sekarang sehingga tahun hadapan, dia boleh pilih masa mana. Mengapa nak memilih musim haji?

“Najib bertanggungjawab diatas kesusahan orang di sudut jiwa, persiapan dan sebagainya,” katanya.

Kenyataan Tuan Ibrahim turut disokong oleh Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyatakan ibadah haji boleh ditangguhkan dan ia tidak mempunyai tempoh masa untuk ditunaikan seperti ibadah solat.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Umno-BN akan menafikan hak sebahagian besar rakyat jika mengadakan PRU-13 pada musim haji tahun ini.

Hadi menyatakan, hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan di antara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh.

Abdul Hadi berkata, Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.


Pengarang :