NASIONAL SELANGOR

MB: Bekas Menteri Umno-BN Juga Setuju Perjanjian Air Dahulu Berat Sebelah

 

SHAH ALAM, 13 JUN: Bekas Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Tun Dr Lim Keng Yaik pernah menyatakan perjanjian tarif air yang dibuat sebelum 2006 berat sebelah.

Demikian menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika merasmikan Forum Air Negeri Selangor 2012 yang berlangsung di Shah Alam Convention Centre semalam.

“Pada 2006, selepas menandatangani perjanjian ini, Kerajaan Persekutuan di bawah bekas Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Tun Dr Lim Keng Yaik berpendapat perjanjian-perjanjian yang dibuat sebelum 2006 adalah amat berat sebelah kepada konsesi bukan pengguna.

“Oleh sebab itu satu undang-undang telah diluluskan oleh parlimen pada 2006 dan undang-undang tersebut memberi ruang untuk penstrukturan semula industri air di semua negeri termasuk Selangor.

“Itu sebab undang-undang ini dikeluarkan dalam penyusunan semula industri air di Negeri Selangor,” ucap Khalid.

Menurut Khalid, setiap tindakan yang diambil beliau sebagai ketua pentadbiran Kerajaan Selangor dalam isu air ini adalah selaras dengan peruntukan undang-undang dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Keengganan pentadbiran Umno-BN untuk menstruktur semula industri air Selangor merupakan satu keputusan yang mengkhianati keputusan yang dibuat oleh gagasan itu sendiri.

“Ini lagi satu fakta, pada Januari 2008 terdapat satu keputusan kabinet yang menyatakan industri air di Selangor dibenarkan distruktur semula di mana Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) sebagai anak syarikat milikan penuh Kerajaan Selangor mengambil alih semua operasi air di Selangor.

“Saudara tahu pada Mac 2008, pentadbiran Negeri Selangor bertukar dari Umno-BN kepada Pakatan Rakyat.

“Pertukaran inilah menyebabkan Kerajaan Persekutuan tidak mahu melaksanakan skim yang dipersetujui kabinet pada Januari 2008 itu.

Selain itu menurut Khalid, sekiranya perjanjian kadar kenaikan tarif air yang ditandatangani oleh Kerajaan Pusat, Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) pada 2004 diteruskan, harga air akan dinaikkan sebanyak 62 peratus.

“Kalau kita teruskan perjanjian 2004 yang ditandatangani antara Syabas, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bermakna tarif air dinaikkan 37 peratus pada 2009, 25 peratus pada 2012 dan 20 peratus pada 2015.

“Ini bererti kalau sekarang kita setuju, tarif air  sekarang dah naik sehingga 62 peratus,” ujar beliau.

 


Pengarang :