MB : Bina Kepercayaan Rakyat Untuk Laksana Perubahan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Muhammad Asri Sapfie

MB : Bina Kepercayaan Rakyat Untuk Laksana Perubahan

KUALA LUMPUR 9 JUN : Membina kepercayaan daripada rakyat merupakan aset penting bagi sesebuah kerajaan atau pemerintah untuk melaksanakan perubahan yang berkesan terhadap semua pihak.

Amanah itu disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sewaktu memberi ucapan dalam Majlis Perlancaran Buku ‘States of Reform’ hasil tulisan Tricia Yeoh di Central Market Annexe di sini pagi tadi.


“Jika sesebuah kepimpinan itu berkredibiliti dan berjaya mendapat kepercayaan rakyat, maka kemajuan dan keharmonian akan berjalan seiring dan ini pastinya memberi manfaat kepada semua.

“Contohnya dapat dilihat di negeri-negeri Pakatan Rakyat, walaupun terdapat pelbagai kekangan tetapi kita masih mampu melakukan pelbagai program untuk rakyat kerana kita komited dengan apa yang ingin kita lakukan biarpun terdapat halangan,” jelas beliau dihadapan kira-kira 100 tetamu.

Buku berkenaan merupakan kompilasi artikel tulisan Tricia yang membincangkan polisi dan program Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang sejak memerintah pada tahun 2008 yang lalu.

Buku terbitan Genta Media itu boleh didapati di mana-mana kedai buku dengan harga RM28 senaskah.

Selain kehadiran Abdul Khalid dan penulis buku Tricia Yeoh, majlis pagi tadi turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri, Teresa Kok, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Dalam ucapan yang sama, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan reaksi pimpinan Kerajaan Umno-BN berhubung isu pembekuan PTPTN kepada pelajar Unisel baru-baru ini.

“Saya benar-benar kecewa dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin yang memberi komen yang tidak wajar walaupun ia membabitkan isu pendidikan pelajar secara keseluruhannya.

“Pemimpin-pemimpin ini mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan mereka itu adalah untuk mengajar kita dalam isu pendidikan percuma tetapi ternyata apa yang mereka lakukan itu tidak matang dan bersifat dendam semata-mata serta sangat mendukacitakan,” ulas beliau.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION