SELANGOR

MB: Jika Gagal Dapat Lesen, Jangan Beri Rasuah

SHAH ALAM, 12 JUN : Jika gagal mendapatkan lesen, permit atau kelulusan daripada Kerajaan Tempatan, jangan beri rasuah.

Berikut adalah pesanan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahu mereka yang gagal dalam urusan berikut untuk mengajukan masalah kepada Kerajaan Selangor.

“Kita mempunyai rekod, dan jika mereka tidak layak untuk memiliki lesen, maka kita akan sedaya upaya membantu mereka,” katanya di sidang media di Persidangan Pembangunan Integriti Di Sektor Awam dan Swasta di sini hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Selangor komited untuk membanteras rasuah sehingga ke peringkat bawahan dengan menyediakan pelbagai bantuan dan sokongan bagi mencegah amalan rasuah.

“Rasuah bermula dengan adanya pemberi dan penerima. Jadi mekanisma yang terbaik untuk mengekang aktiviti ini adalah jangan memulakan pemberian rasuah dan ajukan perkara ini kepada kerajaan negeri,” katanya lagi.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapan perasmiannya menyatakan rasuah hanya menyebabkan kejatuhan sesebuah syarikat kesan daripada kegagalan menguruskan aset dengan sempurna.

“Syarikat tidak boleh maju jika pengurusnya mengamalkan rasuah serta tidak pandai menguruskan aset. Ini melambangkan kelemahan etika pengurusan dan integriti syarikat tersebut,” katanya.

Turut hadir di persidangan sehari ini adalah Pengurus Besar PKNS, Othman Omar, Pengerusi Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam serta Pengarah ASLI, Tan Sri Dr. Michael Yeoh.

Persidangan di Shah Alam Convention Centre ini bertujuan membincangkan kaedah terbaik mengenai etika dan pengurusan integriti dalam menjalankan perniagaan. Ia dihadiri wakil-wakil pekerja daripada sektor awam dan swasta di Selangor.

Antara tokoh-tokoh yang menjadi panel adalah Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sri Abu Kassim Mohamed, Pengerusi Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafa Ali, Pengerusi Transparency International (TI), Datuk Paul Low.

 


Pengarang :