SELANGOR

MB: Kemajuan PJ Seiring Kemajuan Selangor

PETALING JAYA, 20 JUN : Kerajaan Negeri berbangga dengan Petaling Jaya yang mencapai tahap kemajuan pesat seiring pembangunan Selangor sebagai negeri maju di negara ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjalankan perancangan yang teliti demi pembangunan Petaling Jaya hingga berjaya mewujudkan persekitaran harmoni hingga menjadikan bandaraya ini sesuai diduduki dan menjadi pilihan majoriti masyarakat.

Katanya, Petaling Jaya berkembang sebagai bandaraya ilmu berikutan segala kemudahan lengkap yang wujud di kawasan kendalian MBPJ itu bagi memenuhi keperluan masyarakat yang mendiaminya.

“Konsep banda raya keluarga amat sesuai bagi Petaling Jaya kerana ia memenuhi keperluan semua peringkat usia dan golongan dengan segala kemudahan yang ada. Ia membangun secara pesat dengan pertambahan penduduk yang menbanggakan. Semuanya ada di sini dengan kemudahan tempat bersukan, tempat bagi mewujudkan perniagaan, tempat menuntut ilmu dengan sekolah, kolej hingga universiti dan sebagainya. Ia sesuai untuk semua.

“Perkembangan ini amat membanggakan kerana dari sebuah bandar kecil dalam masa singkat Petaling Jaya berkembang maju menjadi banda raya contoh dengan pertumbuhan ekonomi mampan. Belanjawan bagi Petaling Jaya sebanyak RM281 juta dalam tahun ini juga melebihi Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya ketika berucap dalam majlis Kenduri Rakyat sempena sambutan Ulangtahun ke enam anjuran MBPJ di Dataran Petaling Jaya di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, penganjuran Kenduri Rakyat itu juga adalah selari dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diperkenalkan di mana rakyat turut serta dalam kemajuan negeri serta berkongsi menikmati hasil pulangannya.

Seramai kira-kira 5,000 orang hadir dalam majlis tersebut yang diserikan dengan pelbagai pertunjukan bagi menghiburkan hadirin.

Turut hadir, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakimin.

Orang ramai ditemui turut melahirkan kebanggaaan dengan Petaling Jaya dan gembira menjadi warganya.

Zamir Zakaria, 27, dari Taman Datuk Haron berkata, dia mendiami banda raya ini sejak kecil dan mengikuti perkembangannya dari dekat.

“Ia kini menjadi banda raya kebanggaan semua dengan segala kemudahan serba moden. Penganjuran majlis sebegini juga bagus kerana ia mendekatkan kita dengan komuniti yang ada di sini,” katanya,

Nurul Yaakob, 25, pula menjelaskan pembangunan terancang dialami Petaling Jaya adalah begitu menarik hingga menjadikan bandaraya yang berjaya dalam banyak bidang hingga menjadikan MBPJ sebagai antara Pihak Berkuasa Tempatan yang terbaik.


Pengarang :