NASIONAL SELANGOR

MB: Pusat Tiada Hak Diskriminasi Unisel

SHAH ALAM 6 JUN : Kerajaan Pusat tidak mempunyai hak untuk bersikap diskriminasi dan menafikan hak pelajar baru Universiti Selangor (Unisel) untuk mendapatkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan tidak bertanggungjawab tersebut jelas bertentangan dengan prinsip perbadanan itu untuk membantu golongan yang berkelayakan mendapat pinjaman.

“Walaupun Unisel merupakan sebuah universiti negeri tetapi ia juga menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada pelajar dari luar Selangor seperti Terengganu, Sabah, Johor dan sebagainya.

“Jadi tindakan ini sama sekali tidak adil dan seterusnya membantutkan peluang pelajar-pelajar untuk melanjutkan pelajaran,” jelas Abdul Khalid dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco sebentar tadi.

Mengulas cabaran Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk Kerajaan Negeri menghapuskan yuran pengajian Unisel, beliau menjelaskan perkara itu di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Melainkan kalau Khaled Nordin putus asa dengan kementeriannya dan memberi kita peluang pegang, nescaya dalam masa 100 hari sekurang-kurangnya, dengan gembira kita akan menghapuskan segala yuran untuk pendidikan sehingga ke peringkat tertinggi.

“Itu jugalah yang diperjuangkan Pakatan Rakyat iaitu komitmen memberi pendidikan percuma apabila berjaya memegang Putrajaya, bukanlah sekarang kerana kapasiti bidang kuasa antara negeri dan pusat berbeza,” tegas Abdul Khalid.

Ditanya tindakan susulan berhubung pembekuan pinjaman tersebut, beliau berkata, Kerajaan Negeri memandang serius perkara berkenaan dan akan menggesa Kerajaan Pusat untuk menarik balik pembekuan tersebut.

“Ibubapa juga boleh berkerjasama dengan kita untuk mendapatkan pinjaman daripada PTPTN demi pendidikan anak-anak mereka kerana itu hak mereka,” jelasnya lagi.


Pengarang :