Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

MBSA Serius Banteras Tanggal Iklan Haram

SHAH ALAM24 JUN : Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) dengan kerjasama orang ramai menjalankan operasi menanggal iklan tanpa kebenaran di Seksyen 10 dan 11 di sini hari ini dalam usaha menjaga kebersihan sekaligus menghindarkan kawasan bandaraya itu dengan pemandangan mencacatkan.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya amat serius dan komited untuk memerangi masalah iklan tanpa kebenaran itu kerana iklan yang ditampal di merata tempat seperti lampu jalan, pokok dan papan tanda jalan akan mencacatkan pemandangan di bandaraya itu.

Menurutnya, keadaan itu juga boleh menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya kerana sukar untuk mengecam lokasi atau kawasan yang ingin dikunjungi kerana papan tanda jalan ditampal dengan iklan tanpa kebenaran.

“Operasi ini adalah inisiatif MBSA secara gotong royong dengan penduduk tempatan bagi mendidik masyarakat supaya menyayangi bandaraya ini dan turut sama berperanan serta bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan kawasan sekitar.

“Melalui kerjasama secara menang-menang ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan mendekatkan masyarakat setempat bersama MBSA selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mentadbir Shah Alam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Operasi dijalankan itu turut disertai Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan bersama warga kerja MBSA dari pelbagai jabatan dan penduduk di kawasan seksyen berkenaan.

Shahrin selanjutnya berkata, dari Januari hingga Mei lalu, sebanyak 31,267 iklan tanpa kebenaran seperti kain rentang, poster, bunting dan papan pandu arah ditanggal MBSA melalui operasi diadakan di seluruh bandaraya itu.

Tambahnya, iklan tanpa kebenaran itu kebiasaannya mengenai perkhidmatan pinjaman wang, penyewaan lori, sewa rumah, perkhidmatan kelas tuisyen, perkhidmatan perubatan tradisional dan sebagainya.

“Majlis ingin memaklumkan tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menampal iklan tanpa kebenaran akan diambil melalui Undan-Undang Kecil Iklan MBSA 2007,” katanya.

Sehubungan itu, MBSA ingin menyeru pihak yang ingin mempromosikan perkhidmatan, program, produk atau barangan kepad orang awam perlu mendapatkan kebenaran serta berhubung dengan Jabatan Pelesenan dan Penjaja, MBSA di talian 03-55105133 sambungan 408/485/303.


Pengarang :