Selangorkini
SELANGOR

Mesin Jahit Bagi Memancing Pendapatan

KUALA LANGAT, 5 JUN: Lumpuh separuh badan tidak menghalang Shahrul Nizam Mohd Hanafiah, untuk berdikari dan memperoleh pendapatannya sendiri seperti orang lain.

Bermula sebagai pembantu tukang jahit di Batu Caves pada tahun 1998, Shahrul, 39, sekarang mempunyai sebuah perniagaan sendiri di Kampung Kanchong Darat, Morib di sini, yang dimulakan pada tahun 2000.

Pada 17 Mei, perniagaan beliau mendapat suntikan baru dalam bentuk mesin jahit komputermatik sumbangan Pejabat Penyelaras DUN Morib.

Beliau gembira dengan bantuan berkenaan kerana ia akan memudahkan kerja beliau.

“Saya sangat hargai pemberian ini. Memudahkan kerja saya dan meringankan beban.

“Dulu kena hantar ke kedai kalau nak jahit butang misalnya dan terpaksa menunggu. Kadang-kadang memakan masa yang lama. Dengan adanya mesin ini lebih mudah kerja saya,” katanya.

Shahrul merupakan orang kelainan upaya (OKU) sejak 25 tahun lalu akibat kemalangan yang berlaku pada usia 14 tahun.

Menurut beliau lagi, pada awal permulaan menjahit, beliau memgalami kesukaran dan mengambil masa enam bulan untuk meyakinkan pelanggan.

Hasil kesabaran dan kegigihan beliau kini mempunyai beberapa pelanggan tetap termasuk dari luar Kuala Langat seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Untuk musim perayaan kali ini, beliau menerima hampir 80 pasang tempahan baju.

Beliau yang bernaung dibawah Malaysian Spinal Injury Association (MASIA) sejak 1995 mendapat bantuan sebanyak RM 300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya bantuan berkenaan tidak mencukupi dan pihak persatuan pernah menyuarakan hasrat kepada kerajaan agar elaun mereka dinaikkan.

“Pada saya OKU tidak sepatutnya dipinggirkan. Ramai diantara mereka yang hidup berdikari dan mereka juga berhak untuk memdapat layanan sama rata seperti orang lain,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras DUN Morib, Hasnul Baharuddin berkata, pihaknya lebih selesa menggunakan konsep ‘memberi pancing berbanding ikan’ untuk menggalakkan kumpulan masyarakat berdikari dalam menjana pendapatan.

“Dengan alatan mesin menjahit butang ini, beliau tidak lagi bergantung kepada pihak lain untuk urusan menjahit butang.

Apatah lagi beliau merupakan seorang OKU yang sukar untuk bergerak ke sana sini.

“Kedua, langkah ini akan meningkatkan produktiviti dan kreativiti beliau,” katanya.


Pengarang :