Selangorkini
NASIONAL

Murad Cuba Tutup Penyelewengan Sendiri Dakwa PKR

PETALING JAYA 27 JUN : Pendedahan Datuk Murad Khalid kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai 20 akaun induk bernilai RM3 bilion sebenarnya untuk menutup penyelewengan bekas timbalan Gabenor Bank Negara itu sendiri, dakwa Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli.

Nilai RM3 bilion itu membabitkan membabitkan aset, saham dan wang seperti yang dinyatakan dalam akuan bersumpahnya.

Rafizi menjelaskan hasil siasatan yang dilakukannya berhubung latar belakang Murad menunjukkan beliau pernah menerima habuan dalam bentuk pembayaran keahlian kelab golf dan yuran bulanan dari pihak ke tiga ketika Murad menjadi Pegawai Tinggi Bank Negara pada 1991 sebanyak RM30,000.

Murad juga menerima insuran perlindungan kediaman berjumlah RM3.1 juta yang dibayar oleh seseorang.

Malah, beliau turut mendakwa Murad mempunyai kepentingan dalam syarikat Kenworth Sdn Bhd dan mendapat manfaat daripada 15 unit kondominium di Pelangi Indah Condo.

“PKR akan mendedahkan pelbagai lagi salah guna kuasa dan rasuah serta aset pemilikan beliau (Murad) dari masa ke semasa,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Jelas Rafizi, dakwaan Anwar mempunyai aset bernilai RM3 bilion itu timbul dari perakuan bersumpah yang dibuat oleh Murad antara tahun 1994 dan 1999.

Katanya, perakuan bersumpah itu tidak memberikan sebarang fakta dan senarai semua harta yang dimiliki Anwar.

“Sekiranya beliau (Murad) mengatakan Anwar mempunyai ‘Master Account’, mengapa beliau tidak menyenaraikan semua akaun itu? Murad boleh berbuat demikian kerana setiap transaksi tidak akan terlepas darinya kerana beliau berjawatan tinggi ketika itu.

“Tiada sebarang perincian untuk mendakwa Anwar mempunyai akaun seperti yang didakwa itu. Sebaliknya ia hanyalah dakwaan dengan menyebut beberapa nama yang kemudiannya dikaitkan dengan Anwar,” katanya.

Tambah Rafizi, hasil sisatan juga menunjukkan Murad mempunyai hubungan dengan banyak syarikat yang mempunyai kepentingan dengan Bank Negara dan industri perbankan di Malaysia.

Justeru, beliau meminta Murad tampil memberi penjelasan dan membetulkan keadaan dan meminta maaf seperti mana yang pernah dilakukan secara peribadi kepada Anwar dahulu.

“Katakan sahaja bahawa beliau (Murad) terpaksa membuat akaun bersumpah itu kerana beliau dan keluarganya pernah diugut oleh seseorang ketika itu.

“Jika tidak saya akan dedahkan semua dokumen dan surat asalnya kepada Mantan Perdan Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan membawa implikasi buruk kepadanya dan beberapa pimpinan tertinggi Umno-BN,” katanya.

Rafizi turut memberi amaran keras kepada Umno-BN supaya jangan ‘galak’ kerana pendedahan yang akan dibuatnya lebih aib dari tindakan mereka yang mengaibkan Anwar sebelum ini.

 


Pengarang :