NASIONAL

Najib Campurtangan, Tidak Telus Dalam Projek LRT Ampang

PETALING JAYA, 25 JUN : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa campur tangan di dalam pemberian kontrak kepada sebuah konsortium diketuai George Kent bagi pembinaan projek tambahan sistem LRT Ampang bernilai hampir RM1 bilion.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, sedangkan laporan mendedahkan kontrak tersebut telah diberikan kepada konsortium lain, iaitu Konsortium PDA.

Menurutnya, sebelum ini Najib pernah berjanji untuk berlaku adil dan telus serta memastikan semua kontrak besar akan dijalankan secara tender terbuka.

“PKR boleh mendedahkan bahawa George Kent bukanlah konsortium yang telah terpilih bagi projek tersebut setelah melalui proses tender terbuka dijalankan Prasarana.

Ini disahkan surat Prasarana bertarikh 22 Jun lalu kepada Kementerian Kewangan memaklumkan Konsortium PDA terpilih sebagai kontraktor terbaik bagi pojek itu.

“Malah Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar sendiri menulis surat kepada Najib untuk mendapatkan kelulusan mengeluarkan Surat Tuju Terima kepada Konsortium PDA,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Rafizi menjelaskan campurtangan Perdana Menteri dalam isu itu tidak disenangi oleh pengurusan Prasarana kerana bertentangan dengan penilaian bidaan yang telah dijalankan Prasarana sebelum ini.

Akan tetapi, menurut satu laporan akhbar Business Times pada 22 Jun konsortium George Kent akan dianugerahkan kontrak bernilai RM960 juta bagi kerja projek tambahan itu.

Tambahnya, laporan itu dibuat selepas Najib mengumumkan sendiri kepada pimpinan kerajaan hasrat beliau menganugerahkan projek tersebut kepada George Kent.

Perkembangan terbaru itu, Rafizi berkata, mengesahkan Najib bertindak menukar keputusan Prasarana dan menolak proses tender terbuka dalam projek mega yang melibatkan berbilion wang rakyat.

Berikutan itu, beliau berkata, PKR akan melakukan pendedahan berterusan dalam isu tersebut setiap dua hari sekali bermula hari ini bagi menguji komitmen Najib kepada usaha membanteras rasuah dan penyelewengan.

“Saya betul-betul menasihatkan Najib supaya menangani skandal ini dengan baik demi menjaga imej pentadbiran beliau.

“Soal NFC dia tak sebut tak apa, soal ajak debat dia tak sebut tak apa, soal Scorpene dia tak sebut tak apa.

“Dia hanya beri reaksi apabila saya letak jawatan, saya rasa terharu sangat. Jadi sekarang saya nasihatkan Najib supaya memberi respon terhadap isu ini,” katanya.


Pengarang :