NASIONAL SELANGOR

Najib Razak Perlu Jawab Skandal Jual Rahsia Keselamatan Negara

PETALING JAYA,6 JUN : PKR menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak supaya menjelaskan bagaimana sebuah syarikat yang ada kaitan dengan dirinya didakwa menjual dokumen rahsia pertahanan negara dengan harga 36 Juta Euro atau RM 142 juta.

Timbalan Presiden PKR, Azmin mendakwa dokumen sulit itu adalah penilaian prestasi Kapal Selam Scorpene berasaskan keperluan pertahanan yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dokumen tersebut didakwa dijual oleh Terarasi (Hong Kong) Ltd kepada pembina kapal perang Peranchis DCNS.

“Terarasi (Hong Kong) Ltd setelah disiasat didapati bahawa syarikat ini dimiliki oleh Abdul Razak Baginda dan ayahnya Abdul Malim Baginda.

“Umum mengetahui bahawa kedua-dua individu ini adalah penasihat utama kepada Datuk Seri Najib Razak dan disyaki merupakan proaksi kepada beliau.

“Skandal pembelian Scorpene kini melampau persoalan rasuah dan penyelewengan dana rakyat semata-mata,” kata Azmin dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Jelas Azmin lagi, pendedahan itu menunjukkan pimpinan Umno tidak teragak-agak untuk menggadai kemerdekaan dan kedaulatan negara termasuk berhubung strategi sulit keselamatan negara demi mengumpul kekayaan persendirian.

“Menjual maklumat pertahanan negara adalah pengkhianatan tahap tertinggi yang mesti dipertanggungjawabkan kepada Perdana Menteri Datuk Mohd Najib sendiri kerana perkara ini berlaku ketika beliau memimpin Kementerian Pertahanan.

“Penjualan penilaian prestasi Scorpene dan keperluan pertahanan tersebut bermakna negara asing telah mendapat maklumat terperinci strategi pertahanan negara,” ujar Azmin.

Tegas Azmin, tindakan ini mendedahkan isu keselamatan rakyat dan tentera yang mengendalikan Kapal Selam Scorpene yang sudah memulakan operasinya.

“Najib Razak perlu tampil memberikan jawapan bagaimanakah rahsia tersebut yang dijual oleh penasihat beliau sendiri,” ujarnya.

Azmin juga mendesak agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya memulakan siasatan segera dalam hal ini.

“Sekiranya Angkatan Tentera Malaysia tidak terlibat dalam penjualan maklumat rahsia strategi pertahanan negara, maka saya mendesak pimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia untuk membuat laporan polis dengan segera,” tegas Azmin.

Pada sidang media yang sama, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khattab berkata, kuasa yang dipusatkan kepada Menteri dan pegawai-pegawai tentera perlu dikaji semula demi keselamatan negara.

“Saya telah mengambil keputusan nekad untuk mengumpulkan rakan-rakan pimpinan Angkatan Tentera di dalam Majlis Rundingan Keselamatan yang ditubuhkan oleh PKR bagi menilai dasar pertahanan dan menjadi timbang tara keputusan yang membabitkan Kementerian Pertahanan.?

Abdul Hadi yang juga pengerusi Majlis Rundingan Keselamatan (MRK) PKR, berharap kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera memberikan perhatian yang serius terhadap skandal ini.

“Sebagai Bekas Pegawai Tertinggi Angkatan Tentera,tindakan itu sudah tentulah pengkhianatan besar kerana ia mendedahkan strategi pertahanan negara,” kata beliau.

Dalam pada itu, portal berita Malaysiakini, melaporkan yang TLDM tidak mahu mengulas dakwaan Azmin.

Ketika dihubungi Malaysiakini, pengarah media dan web TLDM, Komander Ismail Othman berkata, pihaknya tidak ada sebarang komen mengenainya buat masa ini.

Ismail juga enggan mengulas lanjut apabila ditanya sebab pihaknya tidak mahu mengulas tentang isu tersebut.


Pengarang :