Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Nik Aziz : Hayati Undang-undang Allah Bagi Memerangi Rasuah

SHAH ALAM 26 JUN : Undang-undang ciptaan manusia tidak akan sesekali berjaya memerangi gejala rasuah atau jenayah lain secara mutlak dan menyeluruh.

Sebaliknya, menurut Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hanya undang-undang Allah mampu mengubah keadaan tersebut asalkan setiap umat berpegang teguh kepada konsep ketakwaan terhadap-NYA.

“Hanya Allah yang mampu menjaga kita menjadi lebih baik. Sama juga dengan lembu, takkan lembu kena jaga lembu memang tidak jadi apa.

“Sebab itu, lembu ada tuan dia yang menjaga barulah lembu dapat mengawal diri, tidak tidur di tengah jalan dan sebagainya.

“Sama juga dengan kita manusia, perlu ada Tuan kita untuk menjaga dan dalam kes kita ini, Allah yang berkuasa menjaga kita agar kita selamat dunia akhirat,” ucap beliau sewaktu menghadiri Wacana Buku Rasuah yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK di sini pagi tadi.

Sambil mengulangi pentingnya memahami dan mengamalkan cara dan nilai  Islam bagi membendung rasuah, beliau menambah seseorang juga perlu mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap Islam.

“Bacalah Al-Quran berkali-kali, pakailah serban, jubah dan sebagainya tetapi selagi dalam hati tidak percaya tentang apa yang dijanjikan Allah memang sampai bila pun kita tidak akan ikut Islam.

“Janji Allah setiap yang hidup pasti akan mati, begitu juga dengan amalan, ada dosa ada pahala, jadi kalau kita yakin maka kita akan buat ikut apa yang dianjurkan Islam kerana kita percaya adanya azab yang dijanjikan bagi mereka yang mungkar.

“Samalah jika kita ingin berbuat jenayah seperti rasuah, andaikata kita beriman dan percaya akhirat, maka kita tidak akan berani memberi dan menerima rasuah. Apa sahaja perkara segalanya berbalik kepada keimanan kita,” ujarnya di hadapan kira-kira 200 tetamu yang hadir.

Program tersebut turut menyelitkan sesi forum antara Senator Dr Syed Husin Ali, Prof Sharil Md Zain dan bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Syed Shahir Syed Mohamud yang berdiskusi mengenai gejala rasuah berdasarkan buku bertajuk Rasuah yang ditulis oleh Allahyarham Syed Hussein Al-Attas.

Program anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor ini juga turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri Dr. Halimah Ali, Iskandar Abdul Samad, Dr. Ahmad Yunus Hairi serta Adun Meru, Dr Abd. Rani Osman.

 

 


 


Pengarang :