Noh Omar Perlu Segerakan Pembinaan Jambatan Baru Sungai Tengi | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Lizawati Madfa

Noh Omar Perlu Segerakan Pembinaan Jambatan Baru Sungai Tengi

TANJONG KARANG, 1 JUN : Pembinaan jambatan baru bagi menggantikan jambatan lama yang menghubungkan kawasan Sawah Sempadan dan Sungai Burong perlu disiapkan segera oleh kontraktor yang bertanggungjawab.

Menurut Naib Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Misran Serman, jambatan lama yang melintasi Sungai Tengi ini dibina sebelum Tanah Melayu mendapat kemerdekaan 55 tahun dahulu.


“Seharusnya projek pembinaan jambatan baru ini dimulakan sejak dahulu lagi kerana ia merupakan laluan penting bagi petani, penduduk tempatan serta kenderaan yang ingin ke Sabak Bernam,” katanya yang juga merupakan Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor.

Projek di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ini diberikan kepada kontraktor Seaway City Sdn Bhd dan mula dibina pada 30 Jun 2010 dan dijangka siap pada 7 Julai 2012.

Namun, tinjauan wartawan SelangorKini ke tapak pembinaan mendapati adalah mustahil projek ini dapat disiapkan dalam masa yang dijangkakan kerana kerja-kerja pembinaan masih diperingkat awal. 

Rata-rata kenderaan yang melintasi jambatan lama ini menghadapi kesulitan kerana hanya memuatkan satu kenderaan kecil dalam satu-satu masa sahaja.

Selain itu, jambatan lama ini juga turut mengundang bahaya kepada pengguna di waktu malam kerana keadaan jambatan yang sempit selain ketiadaan lampu jalan yang boleh membantu pengguna laluan ini.

Menurut Misran, seharusnya Noh selaku Ahli Parlimen Tanjong Karang peka dengan masalah yang dihadapi penduduk setempat di sini.

“Beliau merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, sepatutnya projek ini tidak menghadapi masalah seperti kelewatan siap,” katanya lagi.

Sementara itu, jambatan baru tersebut bakal dijadikan jalan alternatif untuk pengguna jalanraya yang ingin ke Daerah Sabak Bernam berikutan pertambahan kenderaan yang melalui jalan Klang-Sabak Bernam di waktu cuti sekolah dan cuti umum.

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION