Padang PKNS: MB Pelawa Penduduk Bincang | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

Padang PKNS: MB Pelawa Penduduk Bincang

SHAH ALAM, 6 JUN : Penduduk SS7, Kelana Jaya dialu-alukan untuk mendengar perbincangan Jawatankuasa Bebas yang akan ditubuhkan Kerajaan Negeri Selangor bagi menyelesaikan isu padang kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, isu tersebut perlu dinilai secara telus dengan membabitkan penyertaan semua pihak termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD).


Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dikendalikan badan profesional yang terdiri daripada bekas hakim serta arkitek perancangan bandar dan desa, tanpa membabitkan individu yang mempunyai kaitan dengan Kerajaan Negeri.

“Jika dilihat secara menyeluruh mengenai perkara ini, semua pihak terbabit sama ada secara langsung atau tidak langsung termasuk Kerajaan Negeri sendiri.

“Jika ada yang mengatakan proses ini dikendalikan oleh Exco atau kakitangan Kerajaan Negeri, maka kita tidak panggil ia sebagai Jawatankuasa Bebas. Malah kita tidak akan mempelawa penduduk untuk turut serta,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan terhadap perkara itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

“Mereka (Jawatankuasa Bebas) akan mengkaji semula apa yang berlaku supaya perkara ini dapat diselesaikan segera dan kita dapat tahu hal yang sebenar,” ujarnya.

Sebelum ini, isu terbabit dibangkitkan apabila padang PKNS di SS7 Kelana Jaya berhampiran Lebuhraya Damansara Puchong ingin dimajukan PKNS sebagai projek komersial.

Hal tersebut menimbulkan bantahan penduduk setempat ekoran kawasan itu diwartakan sebagai kawasan hijau.

Bagaimanapun, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan baru-baru ini mengakui terdapat kesilapan cetak oleh MBPJ dalam Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ2).

Oleh itu, Roslan memaklumkan pihaknya akan mengikut buku yang dicetak oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD).

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION