Selangorkini
NASIONAL

PAS Tak Keluarkan Arahan Kuasai Masjid dan Surau

SHAH ALAM 25 JUN : Pas Selangor tidak pernah keluarkan arahan untuk menjadikan masjid dan surau di seluruh Selangor sebagai tapak ceramah politik sepanjang Ramadan akan datang.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata dakwaan tersebut merupakan fitnah terhadap parti tersebut yang tidak mempunyai kuasa terhadap pentadbiran masjid dan surau.

Kuasa tersebut terletak di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kata Dr Rani, yang juga ADUN Meru.

“Dakwaan itu tidak betul. Sesiapa yang buat tohmahan itu, saya harap tolong beritahu siapa yang beritahu, kemukakan bukti.

“Kami dari Pas Selangor tidak pernah mengeluarkan arahan-arahan begitu melalui JAIS, MAIS atau sesiapa pun,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Jelasnya, Pas turut tidak bersetuju jika terdapat ceramah-ceramah yang menyebut mengenai parti politik.

“Pada kita, masjid dan surau merupakan tempat yang neutral dan penting.

Kalau mahu bincang pasal politik itu tidak benar, jika ada mana-mana penceramah yang lebih kepada politik kita juga tidak galakkannya untuk menyampaikan ceramah begitu,” katanya.

Kelmarin, akhbar pro Umno-BN mendakwa Pas sedang merangka strategi bagi menguasai lebih 2,500 masjid dan surau di Selangor untuk dijadikan ‘tapak ceramah’ sepanjang Ramadan.

Akhbar tersebut juga mendakwa Pas mahukan tazkirah Ramadan disampaikan pemimpin Pas dan bukan pegawai agama bertauliah MAIS.

Pas juga didakwa campur tangan secara langsung dalam sesi pemilihan ahli jawatankuasa masjid dan surau terutama melibatkan jawatan nazir, imam I serta II, sekali gus menolak pilihan ahli kariah.

Mengulas lanjut perkara itu, Rani berkata semua pihak perlu berbalik semula kepada mesyuarat dan syarat-syarat yang ditetapkan Jais.

“Jais tidak pernah duduk dalam Pas, ia bukan dibawah kita. Isu itu tidak timbul kerana Jais sudah memberi penjelasan. Biasalah orang yang kalah mesti tidak puas hati,” kata Abdul Rani.


Pengarang :