NASIONAL

Pekan Hulu Langat Perlu Perancangan Semula

HULU LANGAT,1 JUN : Menteri Besar telah mengarahkan pihak perancangan negeri untuk mengkaji semula struktur perancangan di Hulu Langat yang kini berdepan dengan beberapa masalah seperti kesesakan jalan raya dan banjir demi memastikan kebajikan dan kualiti kehidupan rakyat terus terjamin

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media selepas Program Aduan Rakyat di Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) Daerah Hulu Langat mengharapkan perancangan yang lebih baik untuk masyarakat di sini diberi perhatian.

“Hulu Langat menghadapi satu keadaan kesesakan oleh kerana perancangan bandarnya dahulu tidak dirangka lebih awal.

“Sekarang perancangan bandar ialah untuk menyelesaikan masalah yang ada iaitu menempatkan rumah atau masalah penempatan yang tidak sesuai yang menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya dan kepadatan.

” Sebab kepadatan itu sangat tinggi sehingga kualiti hidup masyarakat terjejas,” kata Abdul Khalid.

Sebelum itu,dalam ucapannya, Abdul Khalid berkata Hulu Langat merupakan kawasan sokongan kepada perbandaran di Kuala Lumpur yang memerlukan peruntukan khusus dan perancangan yang lebih rapi dan tersusun.

“Konsep pejabat turun kepada rakyat adalah konsep yang menyatakan bahawa perkhidmatan yang diberikan ialah terus kepada penggunanya bukan pengguna yang mencari orang yang memberikan khidmat,” kata Abdul Khalid di Dewan Datuk Nazir Batu 14 di sini.

Abdul Khalid menjelaskan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat bekerja untuk rakyat dengan memberikan nilai dan khidmat terus kepada rakyat yang lebih mengutamakan pelaksanaan perancangan.

Dalam program itu turut hadir Exco-Exco Kerajaan Negeri Selangor ,pihak berkuasa tempatan dan jabatan-jabatan kerajaan negeri yang bersama-sama untuk mendengar aduan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat di Hulu Langat.

Program itu juga turut dihadiri kira-kira 2,000 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat di sini.


Pengarang :