Selangorkini
SELANGOR

Pembinaan Asrama Puteri Kolej INPENS Jamin Pembelajaran Lebih Selesa

KUALA SELANGOR, 16 JUN : Sejajar dengan misi memartabatkan institusi pendidikan di negeri ini, Kerajaan Selangor membina bangunan asrama puteri khusus untuk menempatkan pelajar perempuan Kolej Antarabangsa INPENS.

Bangunan empat tingkat yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas bagi menjamin pembelajaran lebih selesa itu siap dibina pada Disember tahun lalu dengan kos RM 5 juta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim maklumkan asrama tersebut menyediakan 18 unit hostel, dewan makan, rumah warden, pejabat warden, bilik rekreasi, bilik sakit, bilik tetamu dan pantri.

“Hasil daripada pembinaan bangunan asrama ini, kita boleh menampung kapasiti sekurang-kurangnya 500 pelajar perempuan secara keseluruhannya.

“Ini adalah satu perkembangan yang baik untuk Kolej INPES kerana mereka akan dapat mempertingkatkan lagi usaha untuk menghasilkan para belia dan beliawanis yang celik ilmu dan berkemahiran bagi pembangunan negeri,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Asrama Puteri Kolej Antarabangsa INPENS di sini hari ini.

Hadir sama, barisan Exco Selangor dan Presiden Kolej Antarabangsa INPENS, Datuk Dr Md Mydin Sheriff.

Sebelum ini, pelajar perempuan kolej berkenaan terpaksa ditempatkan di bilik kuliah dan dewan rekreasi yang diubahsuai kepada bilik asrama di Bangunan Kompleks Utama.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut mencadangkan Kolej INPENS supaya menarik lebih ramai pengajar profesional yang mempunyai pengalaman dalam bidang tertentu.

Cadangan ini katanya, dapat memperluaskan bidang kemahiran belia ke peringkat lebih tinggi supaya setanding dengan kemahiran negara-negara asing.

“Umpama dalam bidang pembaikan kenderaan mahupun elektronik atau seni jahitan yang boleh diperkembangkan untuk memberi sumbangan pengalaman kepada anak-anak muda.

“Kerajaan negeri telah berbincang dengan pihak pengurusan Kolej INPENS untuk menarik lebih ramai tenaga pengajar bagi memberi pengalaman terus dari segi pelajaran dan perkembangan modul pendidikan,” ujarnya.

 


Pengarang :