NASIONAL

Pendidikan Percuma Mahasiswa Gempur Kampus

SHAH ALAM 5 JUN : Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI) akan menjelajah ke seluruh kampus Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) berhubung isu pendidikan percuma dan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Siri jelajah ini turut menampilkan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli.

Program tersebut yang juga dinamakan Gempur Kampus : Mansuh PTPTN dan Tuntut Pendidikan Percuma diadakan khusus untuk memberi penerangan mengenai polisi pemansuhan PTPTN dan dasar pendidikan percuma yang dibawa kumpulan mahasiswa dan Pakatan Rakyat.

Presiden KAMI, Haziq Abdul Aziz dalam satu kenyataan medianya berkata, usaha ini bukan sahaja disasarkan kepada golongan mahasiswa tetapi juga rakyat secara keseluruhannya dalam memahami dasar pendidikan percuma yang diperjuangkan.

“Kami menerima banyak respon yang baik setelah debat Rafizi Ramli – Khairi Jamaluddin diadakan. Majoriti cenderung kepada idea untuk mansuh PTPTN dan mansuh sahaja caj pentadbiran 1 peratus dan positif terhadap idea pendidikan percuma.

“Namun kempen harus diperhebatkan supaya masyarakat, anak muda dan mahasiswa betul-betul faham mekanisme pemansuhan dan pelan pendidikan percuma,” jelas Haziq.

Program Gempur Kampus ini akan berlangsung dalam bentuk dialog antara anak muda dan mahasiswa bersama Rafizi Ramli dan program pertama akan diadakan di Seksyen 7, Shah Alam melibatkan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Program gempur kampus ini akan diteruskan di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Putra Malaysia dan kampus-kampus UiTM seluruh Negara.

Kes hutang pelajar dan tuntutan pendidikan percuma bukan berlaku hanya di Malaysia tetapi turut berlaku di Kanada, New Zealand, Amerika Syarikat dan beberapa buah negara lain.


Pengarang :