Selangorkini
SELANGOR

Penduduk Serdang Raya Gembira Jalan Sudah Diturap

SERDANG 23 JUN : Penduduk Serdang Raya kini boleh menarik nafas lega selepas kerja-kerja menurap jalan-jalan di kawasan itu selesai dan kini boleh digunakan.

Seorang penduduk, Eng Teck Hock, 51, ketika ditemui melahirkan perasaan gembira kerana jalan ini merupakan laluan utama bagi penduduk di sini untuk ke jalan utama.

“Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri serta Majlis Perbandaran Subang Jaya(MPSJ) kerana mengotakan janji untuk menurap jalan yang bermasalah ini,” katanya.

Sementara itu, Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM400,000 di bawah Geran Selangorku bagi kerja-kerja menurap jalan di kawasan ini.

Katanya, jalan ini rosak dan tidak diturap selama hampir 10 tahun dan tentunya menyukarkan pengguna serta penduduk di sini melakukan aktiviti harian.

“Sebelum ini jika terdapat kerosakan atau jalan berlubang, tindakan yang diambil hanyalah menampal dan ianya tidak mampu bertahan lama,” katanya yang juga Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram.

Manakala seorang lagi peniaga runcit di kawasan ini, Sin Lean Fatt, 48, berkata, jalan yang diturap ini memudahkan urusan peniaga dan juga pembeli kerana jalannya luas dan selesa.

“Sebelum ini keadaan jalan ini sesak kerana jalan berlopak-lopak dan ketiadaan parkir yang selesa bagi penduduk di kawasan ini,” katanya yang sudah tujuh tahun menjalankan perniagaan di sini.

Selain itu, Ean turut menyatakan terdapat 21 jalan kesemuanya di kawasan ini yang perlu diturap semula di bawah peruntukan Geran Selangorku pada tahun ini.


Pengarang :