Selangorkini
SELANGOR

Pesawah Minta Kaji Semula Subsidi dan Harga Padi

KUALA LUMPUR : Kerajaan Pusat digesa mengkaji semula harga padi dan subsidi kini yang tidak pernah ditukar sejak 22 tahun lalu.

Pengerusi Pertubuhan Peladang E2 Kubang Sepat MADA, Mohamad Fuad Yaakob berkata, warga Felda menerima pelbagai imbuhan sedangkan pesawah yang menjadi tonggak utama produk makanan negara diabaikan.

“Bermula musim pertama 2010, harga padi semakin murah sedangkan kos semakin meningkat.

“Kami berharap kerajaan mempertimbangkan hasrat kami,” katanya di satu sidang media di lobi Dewan Rakyat.

Pertubuhan itu mencadangkan agar harga padi dinaikkan ke RM1.35 sekilogram dan subsidi ke RM0.50 sekilogram.

Harga pasaran yang ditetapkan kerajaan masa kini adalah RM2.60 sekilogram bagi beras manakala harga padi bernilai RM0.75 sekilogram dan subsidi RM0.24 sekilogram.

Katanya, kenaikkan tersebut mampu menaikan pendapatan pengusaha padi ke lebih kurang RM1,080 sebulan.

Beliau berkata terdapat 140,000 keluarga petani di dalam kawasan MADA yang keluasan 240,000 hektar, yang berpendapatan hanya RM480.00 sebulan.

Pada sidang media itu, MP Kuala Kedah, Kassim Ahmad berkata kali terakhir harga padi dikaji semula adalah 22 tahun lalu ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pertanian.

Hadir sama dalam sidang media berkenaan Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria.

 

 


Pengarang :