Selangorkini
SELANGOR

Petani Berdemo Tuntut Noh Kaji Dasar Monopoli Penjualan Benih Padi

SUNGAI BESAR,9 JUN : Kerugian hampir RM300,000 semusim yang membabitkan kira-kira 300 petani di sekitar Sekinchan disebabkan dasar monopoli penjualan benih padi sehingga menyusahkan petani.

Ekoran tidak puas hati dengan dasar itu, hari ini hampir 50 orang petani mengadakan perhimpunan aman bagi menggesa Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar agar mengkaji semula dasar berkenaan atau dimansuhkan sahaja.

Kumpulan petani berharap pihak Kerajaan Pusat memberi peluang kepada syarikat-syarikat bukan Bumiputera dan yang berkelayakan agar diberikan hak urusniaga pembelian dan penjualan benih padi selaras dengan semangat 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim yang turut sama menyertai himpunan aman di Kampung Site B Sekinchan di sini mendakwa, pembelian benih padi yang kini diswastakan menyebabkan petani berhadapan dengan masalah harga yang tidak stabil serta menjejaskan sumber pendapatan.

“Sekarang semua urusniaga penjualan benih padi setiap tahun adalah 80,000 tan, ada perbezaan benih padi yang digunakan ditanam khusus untuk benih padi, dan benih padi akan dijual serta diproses oleh pengilang kemudian akan dijual kembali kepada petani sebagai benih dan bukan beras.

“Kalau dahulu sekurang-kurangnya ada empat syarikat bukan Bumiputera dalam menceburi dalam aktiviti urusan pembelian dan penjualan benih padi tetapi sekarang tiada lagi syarikat bumiputera,” kata Suee Lim.

Jelas beliau lagi, petani berhadapan masalah tidak mempunyai kebebasan untuk menjual benih-benih padi ini dan terpaksa menjual kepada syarikat yang ditetapkan dengan harga yang tidak terjamin.

“Kadang-kadang berlakunya masalah birokrasi yang akan menyebabkan petani menjual benih padi ini dengan harga padi biasa, dan ini menjejaskan pendapatan hasil petani dan sukar untuk menyara keperluan keluarga disebabkan harga barangan yang sudah meningkat,” katanya.

Beliau menyarankan agar urusniaga benih padi itu dikembalikan kepada Jabatan Pertanian.

“Kerugian yang dihadapi petani untuk satu keping adalah dianggarkan kira-kira RM1,000 dan apabila terdapat 300 petak sawah maka jumlahnya keseluruhan dianggarkan mencecah RM300,000.

“Bagi petani jika mereka berkurangan pendapatan RM1,000 ia amat menjejaskan kepada perbelanjaan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit 7 Baroh, Rojikin Sarbini berkata, dasar yang diamalkan ini perlu ditukar kerana ada beberapa kes di mana benih padi yang dijual kembali kepada petani tidak memenuhi spesifikasi yang menyebabkan berlakunya masalah padi angin.

“Oleh kerana kuota tersebut tidak dapat menampung permintaan yang menyebabkan benih-benih ini kurang berkualiti.

“Kita berkumpul di sini pelbagai kaum adalah untuk menyatakan rasa tidak puas hati yang dizahirkan oleh para petani,” katanya.

Seorang petani, Loo Kum Yong,70, berkata, beliau menyokong usaha dan desakan petani di Sekinchan itu dengan harapan agar Kerajaan Pusat mengambil perhatian masalah mereka dan dasar yang membebankan itu dikaji semula demi masa hadapan petani di sini.


Pengarang :