NASIONAL SELANGOR

Peter Chin Perlu Tegas Struktur Semula Industri Air

SHAH ALAM 22 JUN : Kerajaan Negeri menyeru Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui supaya berhenti berlindung di sebalik kenyataan politik dan mengambil langkah tegas dalam rundingan penstrukturan semula industri air Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebagai menteri yang diberi kuasa di bawah Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA), Peter sepatutnya mampu membantu Kerajaan Negeri mengambilalih perkhidmatan air.

“Kerajaan Negeri juga hairan mengapa menteri kerap meminta model yang baharu daripada Selangor sedangkan model yang terakhir yang dibentangkan selari dengan kehendak WSIA.

“Tambah pula, model holistik telah menjamin tarif air tidak akan dinaikkan pada tiga tahun pertama dan tidak lebih dari 12 peratus.

?Berbanding kenaikan 75 peratus dalam perjanjian konsesi yang ternyata memberi keuntungan kepada konsesi sementara rakyat pula menanggung kosnya,” jelas Abdul Khalid dalam satu kenyataan medianya.

Beliau menambah, Kerajaan Negeri juga akan berusaha untuk menurunkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang tinggi di samping mencari sumber air alternatif sebagaimana yang dinyatakan dalam forum air dua minggu lalu.

“Ini membuktikan model Kerajaan Negeri adalah holistik kerana ia menyentuh semua perkara yang berkaitan dengan kecekapan perkhidmatan air,” tegasnya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mempersoalkan sejauh mana kesediaan dan kemampuan Kerajaan Pusat untuk menyediakan dana tambahan sekiranya Projek Langat 2 masih tidak berjaya menurunkan peratusan NRW pada tahap sepatutnya.

“Menteri tersebut menyatakan kos untuk menurunkan peratusan Air Tidak berhasil (NRW) lebih mahal iaitu RM 7.2 billion berbanding pembinaan Langat 2 iaitu sebanyak RM 5 billion.

“Tetapi andai Langat 2 tidak berjaya menurunkan peratusan NRW pada tahap sepatutnya, adakah Kerajaan Pusat sanggup membelanjakan berbillion wang rakyat untuk membina terowong lain bagi merentasi Banjaran Titiwangsa?,” soal beliau.

Abdul Khalid juga sekali lagi menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri untuk berunding dan berbincang dengan Kerajaan Pusat serta agensi berkaitan bagi menyelesaikan penstrukturan ini.

 


Pengarang :