NASIONAL

PM Perlu Pecat Khaled Nordin Sebagai Menteri

SHAH ALAM 9 JUN : Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak didesak untuk memecat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dengan segera.

Exco Selangor, Elizabeth Wong berkata, tindakan Khaled membekukan pinjaman  Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) merupakan tindakan berunsur politik yang menunjukkan  rendahnya kematangan dan profesionalisme beliau.

“Semata-mata untuk menjadikan diri sebagai wira Umno, beliau sudi menggadaikan masa depan mahasiswa.

“Malang lagi, tindakan beliau disokong dengan kuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yasin,” ujarnya yang juga Adun Bukit Lanjan dalam kenyataan media.

Tegas Elizabeth, permainan politik sebegini tidak boleh diterima oleh rakyat Selangor dan Malaysia secara amnya.

“Kekecewaan saya amat tinggi kerana tindakan beliau (Khaled) menjadikan mahasiswa sebagai mangsa sambil meningkatkan keresahan ibubapa yang inginkan pendidikan sebagai penjamin masa depan cerah bagi anak mereka.

“Sebagai usaha jangka pendek untuk membantu mahasiswa dan ibu bapa mereka, Kerajaan Negeri Selangor  bersedia untuk mengumpul sebanyak RM30 juta bagi tujuan bantuan kewangan pelajar,” katanya.

Tambah Elizabeth, tindakan pembekuan pinjaman PTPTN oleh Khaled itu  dibatalkan semalam.

“Walau bagaimanapun, jika beliau tidak dihukum dan dibiarkan terus bertugas sebagai menteri, ini membuktikan Umno-BN tidak mengambil perkara ini dengan serius,” ujarnya.


Pengarang :