Selangorkini
NASIONAL

PR Ucap Tahniah Kejayaan Dr Muhammad Morsi Dan Rakyat Mesir

SHAH ALAM 21 JUN : Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) mengucapkan tahniah di atas kejayaan yang dilakar calon Parti Pembebasan dan Keadilan (FJP), Dr Muhammad Morsi menerusi peratusan undi melebihi 50 peratus di dalam keputusan pilihan raya Mesir.

“Keputusan ini dicatat oleh Parti FJP di dalam suasana tegang yang menyaksikan pengumuman Menteri Keadilan lantikan tentera Mesir yang mengumumkan darurat, justeru memberi kuasa penuh kepada Tentera Mesir sekaligus membubarkan parlimen,” kata satu kenyataan media.

Kenyataan media bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar,Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad berkata kejayaan Dr Morsi adalah pilihan majoriti rakyat Mesir yang menyaksikan sokongan menyeluruh kumpulan konservatif dan juga kelompok sekular atas nama demokrasi.

Jelas kenyataan itu, dukungan dan undi majoriti yang masih diraih Dr Morsi membuktikan iltizam warga Mesir untuk memilih kerajaan demokratik, bukannya sebarang regim yang masih berada di dalam genggaman ketenteraan.

“Pengumuman tentera Mesir juga tidak membantu kuasa parlimen Mesir untuk melakar deraf perlembagaan baru bagi negara tersebut, yang akhirnya merampas kuasa serta hak yang termaktub dalam mana-mana negara demokrasi,” katanya.

Tegas kenyataan itu, PR meminta agar pihak kerajaan Malaysia, Majlis Tertinggi Ketenteraan Mesir (SCAF) dan masyarakat antarabangsa secara keseluruhannya untuk menghormati keputusan majoriti rakyat Mesir itu.

“Dan tidak campur tangan demi memastikan ketenangan dan semangat demokrasi kekal bersinar di Mesir,” kata kenyataan itu.


Pengarang :