NASIONAL

Projek IC Musnahkan Hak Peribumi Sabah

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Pemberian kad pengenalan kepada warga asing mampu memusnahkan etnik asal peribumi Sabah hanya semata-mata untuk menyelamatkan hayat Umno-BN untuk terus berkuasa.

Menurut Ahli Parlimen Kota Kinabalu(DAP), Dr Hiew King Cheu, pemberian kad pengenalan(IC) kepada warga asing akan menjadikan masyarakat asal peribumi Sabah seperti Kadazan menjadi etnik minoriti di bumi sendiri pada masa akan datang.

Ketika ditemuramah dalam program Fokus Isu tertbitan TVSelangor, beliau mengakui masalah pemberian kad pengenalan ini sudah berlarutan sejak sekian lama dan mengecewakan rakyat Sabah, namun sehingga kini Kerajaan Pusat masih tidak melakukan sebarang siasatan berhubung perkara ini.

Apa yang penting katanya, Umno-BN menggunakan kaedah ini semata- mata untuk mendapatkan undi rakyat, walhal rakyat Sabah masih kekal dengan kemiskinan dan infrastruktur yang tidak sehebat di Semenanjung Malaysia.

“Impak pemberian kad pengenalan ini sangat besar. Kerajaan tidak mengawal kemasukkan mereka (pendatang asing) ke Sabah.

“Memang ada orang yang bawa mereka masuk untuk kerja dan memberikan kad pengenalan. Mereka mahu orang ini bekerja di Sabah dan paling penting adalah undi.

“Undi ini untuk mempertahankan Kerajaan. Kesempatan ini juga diambil pihak lain untuk mendapatkan keuntungan misalnya satu kad pengenalan bernilai RM 2,000,” katanya.

Jelas beliau, pemberian kad pengenalan ini turut dimanfaatkan oleh beberapa pihak untuk mengaut keuntungan hasil daripada ‘penjualan’ kad pengenalan kepada warga asing.

Menurutnya lagi, perkara ini sudah lama berlangsung rancak termasuk tangkapan terbaru di Tawau yang melibatkan 18 individu termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Pengarang :