Selangorkini
Uncategorized

RM50,000 Bangunkan Kampung Baru Batu Caves

BATU CAVES 24 JUN : Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM50,000 bagi tujuan pembangunan kepada Kampung Baru Batu Caves di sini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata peruntukkan itu diberi bagi membantu penduduk supaya membuat perancangan terbaru agar dapat meningkatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) di kampung mereka.

“Saya mahu tunjukkan kepada semua bagaimana jika kita mempunyai tanah seluas 10 ekar untuk dibangunkan dan apakah perancangan yang perlu kita lakukan.

“Saya sudah memberitahu kepada pihak Pejabat Daerah dan Yang diPertua Majlis Daerah Selayang (MDS) berkenaan perkara itu. Saya berharap Ketua Kampung dapat datang berjumpa YDP MDS untuk berbincang,” katanya.

Bahagian perancangan akan dipanggil bagi membincangkan tindakan selanjutnya untuk pembangunan itu.

“Beliau(YDP dan Pegawai Daerah) akan tunjukkan peluang bagaimana untuk kita bangunkan, jangan risau beliau tidak melobi mana-mana kontraktor untuk projek itu.

“Saya berharap perkara ini dapat dilakukan dalam masa dua bulan, jika tidak setuju kita tidak memaksa. Penduduk mesti mencari jalan bagaimana untuk membangunkan kawasan untuk generasi akan datang.

Menteri Besar berucap pada Majlis Sambutan 43 tahun Kampung Melayu Batu Caves Selatan di Dataran Hijau Al-Khadra, Balairaya JKKK, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, Adun Batu Caves Amiruddin Shari, Pegawai Daerah dan Tanah Gombak Ahmad Zaharin Saad, YDP MDS Datuk Zainal Abidin Aala dan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki.

Pada majlis yang sama, Abdul Khalid turut menyampaikan sumbangan dari Yayasan Selangor kepada seramai kira-kira 35 pelajar cemerlang UPSR, PMR dan SPM sekitar Batu Caves.

Turut disampaikan sumbangan daripada Adun Batu Caves kepada Sekolah Rendah Agama Taman Amaniah sebanyak RM5,000 dan RM25,000 kepada Open Tahfiz Center, Kampung Nakhoda.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata beliau tidak mempunyai masalah jika Pemuda Umno Selangor membuat laporan polis berhubung isu surat sokongan berkaitan Setiausaha Politiknya, Faekah Husin.

“Dia boleh buat lagi banyak laporan polis.

“Saya juga cadangkan supaya polis membuat satu pejabat khusus untuk mereka datang buat laporan polis jika tidak mereka akan menganggu polis untuk siasat kes jenayah lain,” katanya berseloroh.


Pengarang :