NASIONAL

SAMM: Najib Perlu Saman The Phnom Penh Post

SHAH ALAM, 7 JUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus segera membersihkan nama negara di atas pendedahan seorang wartawan yang berpengkalan di Kemboja yang mengatakan beliau telah dipertemukan dengan Altantuya Shaaribu oleh Razak Baginda di Paris.

Turut didedahkan ialah pembahagian skandal rasuah sebanyak USD160 juta antara Najib, Razak dan beberapa pemimpin Umno.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mendesak Najib di atas kapasiti Perdana Menteri, menyaman akhbar The Phnom Penh Post serta penulis artikel di ruangan Regional Insider – Roger Mitton.

“Pendedahan beliau bukan sahaja memalukan negara ketika skandal rasuah berskala tinggi melibatkan kelengkapan pertahanan negara semakin memuncak, malah mengundang persepsi sangat buruk terhadap kredebiliti seorang Perdana Menteri beragama Islam yang sebelum ini pernah bersumpah kononnya tidak mengenali penterjemah yang dibunuh tanpa motif iaitu Altantuya Shaaribu.” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Katanya, Najib sebagai seorang ketua negara tidak harus berdiam diri kerana artikel kenyataan yang dilempar oleh wartawan The Phnom Penh Post adalah sangat serius dan telah dilulus-terbit untuk tatapan seluruh dunia.

“Keadaan ini mengundang persepsi bahawa Malaysia mempunyai seorang perdana menteri yang terpalit jenayah rasuah, termasuklah jenayah pembunuhan. Ini kerana sikap berdolak-dalik Najib dalam membicarakan statusnya terhadap Altantuya kini menjadi persoalan yang besar.

“Jika Najib sudah tidak mampu lagi meneraju negara ini dengan kredibiliti yang bersih, maka SAMM sangat berbesar hati jika Najib mengambil langkah mengundurkan diri daripada terus memalukan negara.

“Mungkin Muhiyuddin boleh memangku sementara waktu sebelum PRU13 menjelang. Ini bukan lagi persoalan politik domestik tetapi persoalan maruah negara di peringkat antarabangsa.

“Yang memalukan negara bukan demonstrasi rakyat tetapi imej negara akan terjejas kerana beberapa pemimpin negara yang terpalit skandal jenayah terus menerajui negara tanpa ada keberanian membersihkan imejnya.” kata beliau yang juga Ketua Cabang Rembau.


Pengarang :