NASIONAL SELANGOR

Selar ‘Selangorku Bersih’, Kenyataan Noh ‘Pelik’

SHAH ALAM 6 JUN : Tindakan Datuk Seri Noh Omar menyelar program ‘Selangorku Bersih’ anjuran Kerajaan Negeri merupakan satu kenyataan yang pelik, ulas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bercakap dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco Negeri, Abdul Khalid berkata, usaha Kerajaan Negeri itu khusus untuk membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pemilih di negeri Selangor yang mengalami pertambahan pengundi mencurigakan.

“Kita sedang membantu mereka membersihkan daftar pemilih kerana sebelum ini mereka beritahu tidak mempunyai kapasiti dan kemampuan untuk membersihkan daftar pemilih yang meragukan terutamanya di negeri ini.

“Atas rasa tanggungjawab dan berdasarkan kemampuan yang kita ada, kita cuba membantu namun sebaliknya macam-macam pula yang dikatanya,” ujar Abdul Khalid.

Beliau menambah, usaha Kerajaan Negeri itu juga seharusnya tidak dijadikan isu kerana ia merupakan inisiatif murni Kerajaan Pakatan Rakyat membersihkan daftar pemilih bagi memastikan pilihan raya kali ini bersih dan adil.

“Seharusnya usaha sebegini disokong sepenuhnya kerana ia memudahkan kerja mereka.

“Sepatutnya orang membantu kita ucapkan terima kasih tapi peliknya, sebaliknya yang berlaku,” sindir beliau.

‘Selangorku Bersih’ menggerakkan semua Jawatan Kuasa Keselamatan dan kemajuan Kampung(JKKK), Ketua Kampung dan Penghulu untuk memeriksa senarai pengundi baru di seluruh Selangor untuk memastikan nama-nama yang didaftarkan benar-benar wujud seterusnya melenyapkan kewujudan pengundi hantu.

Semalam, Noh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan BN Selangor mengkritik program tersebut dengan menyatakan Kerajaan Negeri lebih menumpukan kepada isu kewujudan 300, 000 pengundi baru dalam daftar pemilih, dan tidak mengambil berat tentang sejumlah 600,000 rakyat yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih.

Noh turut menggesa rakyat Selangor supaya tidak melayan JKKK, ketua kampung dan penghulu yang ingin menjalankan pemeriksaan.


Pengarang :