Selangorkini
NASIONAL

Semua Kaum Perlu Bersatu Tolak Umno-BN

SABAK BERNAM 21 JUN : Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari meminta semua kaum di negara ini bersatu dan menolak pentadbiran Umno-BN.

Katanya, hal itu kerana ramai pemimpin Umno-BN banyak mencetuskan masalah kepada rakyat dan akan berlagak hero untuk menyelesaikan masalah itu.

“Mereka ini pemimpin yang berpura-pura. Jadi kita mesti berubah untuk menolak dan membuang mereka.

“Contohnya, saya dimaklumkan, terdapat lebih 300 nelayan Cina di Sabak Bernam memohon untuk mendapatkan geran tanah tempat tinggal mereka tetapi tiba-tiba mereka dapati bahwa tapak rumah mereka itu dikenal pasti adalah tanah rizab melayu.

“Saya pelik bagaimana penempatan nelayan kaum Cina yang sudah berusia lebih 100 tahun boleh bertukar status. Kita dapat lihat, ini bukan kerja kita tetapi kerja Umno-BN yang mahukan pemimpin mereka bangunkan tanah terbabit,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 penduduk dalam Program Merdeka Rakyat, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Turut hadir, Ketua Cabang PKR Sabak Bernam, Badrolamin Baharon, Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, Adun Hutan Melintang, S Ke savan, Adun Batu Caves, Amirudin Shari dan Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Sementara itu, Chua Jui Meng berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berani untuk mengumumkan Pilihan Raya Umum ke -13(PRU13) kerana khuatir Umno-BN akan tergugat.

“Saya diberitahu oleh sumber-sumber yang boleh dipercayai, jika Najib umumkan pembubaran parlimen, Johor bukan lagi kubu kuat Umno-BN tetapi akan jadi kubu kuat Pakatan Rakyat.

“Kerana di Johor sekarang angin sudah meniup, apabila Johor bergoyang maka Umno-BN di seluruh negara akan tergugat,” katanya.

Selain itu, Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR memberitahu pemberian saguhati RM50 sebulan kepada wanita seluruh negara akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat memenang PRU13.

Katanya, pemberian tersebut yang dinamakan Program Caruman Wanita Nasional adalah salah satu daripada program yang dirangka khusus bagi membela kaum wanita.

“Ia untuk membantu wanita tersebut sekiranya ditimpa perkara yang tidak diingini kepadanya, suami atau keluarganya. Maknanya wanita ada sesuatu untuk membantu mereka sekiranya ditimpa kesusahan,” katanya.

 


Pengarang :