Siapa Arah Ubah, Cetak RTPJ2 Masih Misteri | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Muhammad Asri Sapfie

Siapa Arah Ubah, Cetak RTPJ2 Masih Misteri

SHAH ALAM 28 JUN : Hari kedua pendengaran awam SELCAT mengenai Permohonan Pembangunan Rancangan Tanah Padang PKNS Kelana Jaya masih lagi gagal mengesan siapa mengarahkan mencetak dan mengubah Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) versi cetakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ).

Semalam, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) dikejutkan dengan maklumat terdapat dua versi RTPJ2 yang berbeza antara cetakan MBPJ dengan cetakan yang dikeluarkan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Selangor.


Bekas Pengarah Perancang Bandar MBPJ, Noraini Roslan serta timbalannya, Faiwos Abdul Hamid ketika disoal mengenai persoalan siapa mengeluarkan arahan bagi menukar ‘zoning’ kawasan yang sudah digazetkan sebagai rekreasi dan tanah lapang itu sewaktu sesi pendengaran pagi tadi bagaimanapun gagal menjawab soalan tersebut.

Sehubungan itu, Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim mengarahkan agar persidangan hari ini ditunda hingga Khamis depan (5 Julai) bagi memberi peluang kedua mereka mengemukakan ‘minit mesyuarat’ yang berkaitan untuk menjawab persoalan yang disifatkan sebagai satu kesalahan yang serius dan melanggar undang-undang.

“Perkara ini penting, kita ingin tahu samada ia merupakan arahan individu tertentu atau ia adalah keputusan bersama dan pastinya semua ini ada hitam putihnya.

“Ini bukan perkara kecil yang boleh diputuskan oleh orang sembarangan, jadi kita mesti mencari jawapan apa, siapa atau dimana punca segala permasalahan ini berlaku,” tegasnya.

Terdahulu, Faiwos ketika pertama kali disoal mengenai arahan menukar ‘zoning’ kawasan tersebut berkata keputusan menukar ‘zoning’ diarahkan pihak JPBD namun dakwaan itu disangkal Timbalan Pengarah JPBD, Nor Asiah Bee Mohd Hanif yang hadir di dalam dewan.

“Kenyataan itu tidak benar sama sekali kerana mengikut lampiran surat seperti diperkatakan, mesyuarat tersebut bertujuan berbincang mengenai pengurusan percetakan RTPJ2 yang diwartakan sahaja.

“Untuk pengetahuan, pihak JPBD tidak pernah menyentuh hal pindaan ‘zoning’ dan pihak kami dari awal draf sampai peringkat pewartaan adalah sentiasa konsisten bahawa kawasan tersebut kekal sebagai zon hijau iaitu kawasan tanah lapang dan rekreasi,” ujar Nor Asiah tegas.

Selain ketiga-tiga mereka, turut memberi keterangan hari ini ialah Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad serta Penyelidik Kanan Institut Penang, Datuk Dr Goh Ban Lee yang berpengetahuan luas dalam sektor perancangan bandar.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION