NASIONAL SELANGOR

Status Tanah Berubah Selepas Jumpa Pemaju?

SHAH ALAM 28 JUN : SELCAT yang bersidang hari ini didedahkan bahawa kehadiran pemaju berjumpa dengan bahagian Perancang Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) didakwa mengubah status kawasan ‘zoning’ yang sudah digazetkan sebagai rekreasi dan tanah lapang di padang SS7 Kelana Jaya.

Kenyataan saksi daripada bekas Pengarah Perancangan Bandar MBPJ, Noraini Roslan dan Penolongnya, Faiwos Abdul Hamid menimbulkan spekulasi bahawa keputusan penukaran kawasan zoning dipengaruhi oleh pihak pemaju.

Difahamkan, arahan penukaran status berlaku selepas pemaju hadir pada 24 Ogos tahun lalu bagi membuat permohonan memajukan tanah berkenaan dan status tanah itu berubah selepas perjumpaan berkenaan tetapi tiada tarikh khusus yang dinyatakan bila ia berubah.

Oleh yang demikian, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT), Datuk Teng Chang Kim meminta Noraini menyediakan dokumen berkaitan bagi mengetahui tarikh dan siapa yang terbabit dalam pertukaran status tanah tersebut.

Khamis depan ditetapkan oleh Teng bagi Noraini mengemukakan maklumat tersebut.

Sebelum itu, Noraini dalam kenyataannya mendakwa beliau memperolehi maklumat berkenaan potensi kawasan itu untuk dimajukan daripada pihak pemaju ketika beliau masih memegang jawatan itu.

Menurutnya, pemaju berkenaan membuat permohonan untuk memajukan kawasan tersebut namun pada ketika itu, zoning masih lagi diwartakan sebagai kawasan rekreasi dan tanah lapang.

Bagaimanapun, ketika disoal Teng, mengapa permohonan itu wujud dan perlu dilayani, Noraini sekadar mendiamkan diri.

Ekoran itu, seorang lagi ahli SELCAT, Hannah Yeoh mempersoalkan samada perjumpaan bersama pihak pemaju itu yang mempengaruhi keputusan penukaran status zoning terbabit kepada tanah komersial.

“Jadi, selepas kamu berjumpa dengan pemaju, pemaju yang bagi maklumat pada kamu bahawa tanah ini adalah tanah komersial dan boleh dimajukan?

“Ini kerana selepas perjumpaan itu barulah timbul cetakan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2(RTPJ2) versi MBPJ yang mengatakan kawasan itu sebagai komersial berbeza dengan apa yang telah diwartakan sebelum ini,” kata Hannah.

Bagaimanapun tiada jawapan untuk soalan itu walaupun berulang kali disoalkan.

SELCAT juga dimaklumkan Datuk Bandar MBPJ tidak dijemput dalam mesyuarat penyelarasan pindaan bersama pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa(JPBD).

Noraini menjawab Datuk Bandar tidak perlu dimaklumkan kerana menurut beliau, pada peringkat perbincangan terbabit hanya melibatkan pegawainya sahaja selain menganggap ia tidak penting untuk dimaklumkan.


Pengarang :